SHAH ALAM: Ahli PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau
Chegubard yang digantung keahlian parti terus mengasak Mohamed Azmin Ali
apabila menuduh timbalan presiden PKR itu cuba melobi Istana Selangor
untuk menjadi menteri besar Selangor.
Badrul berkata mengetahui cubaan Azmin mengadakan pertemuan dengan beberapa individu untuk mendapat akses ke istana.
"Azmin dan kartelnya secara konsisten memberikan tekanan kepada
pimpinan PKR kononnya memilih jalan salah mencipta konfrontasi dengan
istana kerana tidak mengemukakan namanya.
"Tidak terhenti di situ, Azmin sendiri bertemu beberapa individu untuk
mendapat akses melobi ke istana," katanya dalam satu sidang media di
Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor hari ini.
Usaha menghubungi Azmin bagi mendapatkan maklum balas terhadap dakwaan tersebut bagaimanapun masih gagal setakat ini.
Tidak cukup dengan tuduhan tersebut, Badrul juga mencabar Azmin supaya
mempersembahkan surat kepada istana, tidak akan menerima jawatan MB
sekiranya dicalonkan.
"Azmin dicabar mempersembahkan surat ke istana segera, maklumkan beliau
tidak akan menerima jika dinamakan sebagai MB dan mempertahankan
keputusan parti mencalonkan Dr Wan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail) sebagai calon MB," katanya.
Beliau juga mendakwa pemimpin PKR tersebut sebagai punca kekalutan krisis Pakatan Rakyat di Selangor berlaku ketika ini.
"Di hadapan umum dia bersetuju Dr Wan Azizah sebagai calon MB, malah
kononnya menolak pencalonan tetapi umum perlu mengetahui lobinya untuk
menjadi MB secara sulit sebagai punca kekalutan PKR, Pakatan dan
Selangor ini," katanya.
Tindakan tersebut bagi Badrul tidak menghairankan kerana Azmin
sememangnya sudah lama mengintai jawatan penting di negeri terkaya itu.
"Memang sejak awal dia impikan jawatan MB Selangor.
"Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Azmin menjaja cerita kononnya
Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjanjikan dia jawatan MB tetapi
menipu dan tidak melantik dia," katanya.
Badrul digantung kerana membuat kenyataan kepada media dengan menyatakan proses pemilihan PKR kotor dan tidak telus.
Beliau juga didapati bersalah kerana membuat dakwaan terbuka dengan menyatakan, "petugas JPP menjadi agen kepada Azmin Ali".
Krisis MB Selangor bermula sejak PKR memperkenalkan “Langkah Kajang”
yang bertujuan menjadikan Anwar sebagai menteri besar bagi menggantikan
Khalid.
Bagaimanapun, Khalid berdegil sehingga menyebabkan kepada pemecatannya.
Pakatan juga berpecah dan berbeza pendapat dalam isu MB Selangor
apabila PAS secara terbuka menolak Dr Wan Azizah sebagai calon MB.
Istana Selangor sehingga kini masih belum memuktamadkan untuk melantik siapa yang layak sebagai pengganti Khalid. – themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment