SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mendakwa Umno sedang
berusaha untuk bekerjasama dengan PAS di Selangor bagi mendapatkan
sokongan dua pertiga di Parlimen.
Menurut beliau, Umno memerlukan sokongan ini bagi membolehkan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
"Hasrat utama kumpulan ini adalah untuk mencapai dua pertiga di
Parlimen dan seterusnya meluluskan tambahan kerusi Parlimen yang
kononnya memperkuat kuasa politik Melayu.
"Selangor adalah umpan terdekat mereka," kata Husam yang dipetik daripada The Malaysian Insider.
Husam bagaimanapun penuh yakin usaha itu akan menemui jalan buntu kerana katanya, "PAS adalah PAS."
Beliau mengulas tentang desas-desus pembentukan kerajaan PAS, Umno dan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di
Selangor yang sedang hangat diperdebatkan sekarang ini.
"Saya katakan, bukan sahaja sukar tetapi mustahil. Baik dari sudut
bilangan, prinsip, pelaksanaan dan kesan jangka pendek dan panjang serta
dinamisme parti-parti yang terlibat," kata Husam yang juga Adun Salor,
Kelantan.
Husam turut menolak spekulasi PAS akan menerima Khalid yang juga bekas
parti rakan Pakatan Rakyat (PR) mereka menyertai parti Islam itu dengan
harapan dapat mencukupkan korum membentuk kerajaan perpaduan (UG)
bersama Umno.
Beliau berkata, jika parti Islam itu mahu bergabung dengan Khalid dan
12 Adun Umno menjadikan bilangannya 29 kerusi bagi membentuk kerajaan
minoriti, itu perlu diputuskan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
"Saya tidak nampak keahlian mereka akan diluluskan oleh PAS Pusat.
Banyak sebab asas kenapa saya berpandangan demikian tetapi rasanya tidak
perlu dihuraikan di sini.
"Pokoknya, keahlian mereka tidak akan diterima," kata Husam.
No comments:
Post a Comment