ASPAN ALIAS
DAP telah meminta ampun daripada
Tuanku Sultan Selangor kerana bertindak dengan mengingkari titah Tuanku Sultan
untuk menamakan lebih dari dua nama untuk menggantikan Khalid Ibrahim sebagai
Menteri Besar Selangor. Tindakan DAP itu adalah tindakan yang sangat
dialu-alukan kerana segera meminta maaf setelah Tuanku Sultan murka diatas
tindakan ingkar DAP itu bersama PKR dalam isu ini.
Beberapa jam selepas itu ANWAR Ibrahim
telah juga memohon maaf diatas kesalahan yang sama tetapi kekal dengan
tindakannya hanya menamakan Wan Azizah, isterinya seorang untuk dicalonkan sebagai
Menteri Besar bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Anwar juga mengambil kesempatan
untuk membidas PM Najib kerana Najib dan UMNO sendiri hanya menamakan satu nama
calon untuk jawatan Perdana Menteri negara ini.
Anwar Ibrahim juga berkata
tindakan menyenaraikan hanya satu nama untuk jawatan Menteri Besar di Selangor
itu adalah mengikut 'convention' dalam mana Khalid Ibrahim adalah satu-satunya
nama yang dikemukakan oleh parti dalam memilih Menteri Besar selepas
pilihanraya 2008 dan 2013 yang lepas. Alasan yang diberikan oleh Anwar itu
adalah alasan yang lemah dan hanya alasan yang dicari-cari untuk meyakinkan
tindakan menghantar satu nama sahaja dalam pemilihan seorang Menteri Besar itu
adalah satu tindakan yang benar.
Begitu juga UMNO telah menghantar
hanya satu nama kepada Tuanku Yang di Pertuan Agong dan kerana tidak ada
persoalan dari pihak Istana, maka pencalonan nama yang tunggal oleh UMNO selama
ini tidak mempunyai apa-apa rintangan dan diterima dengan baik.
Tetapi dalam kes pencalonan Wan
Azizah, pencalonan beliau itu menjadi persoalan oleh banyak pihak, lebih-lebih
lagi oleh Istana, maka itulah sebabnya Tuanku menitahkan untuk PKR dan
parti-parti lain yang bekerjasama dalam PR itu untuk menghantar lebih dari dua
nama untuk pertimbangan Kebawah Duli Tuanku Sultan. Oleh itu Anwar tidak boleh menjadikan
pemilihan Khalid dengan pencalonan tunggal dahulu sebagai konvension atau’
precedent’ yang perlu diikuti oleh Tuanku Sultan.
Oleh itu tindakan Anwar membidas
Najib dalam kenyataannya memohon maaf kepada Sultan Selangor itu adalah satu
tindakan untuk mengalihkan pandangan ramai dari masalah yang dihadapi oleh PKR
itu. Malahan Anwar tahu yang isterinya itu bermasalah untuk memegang jawatan
yang kini masih dipegang oleh Khalid Ibrahim yang dipecatnya dari keahlian
partinya beberapa minggu yang lalu.
Tidak guna Anwar memohoin maaf
jika beliau terus kekal tidak mahu berganjak dari sikap degil terhadap kehendak
Istana itu. Meminta maaf tetapi tetap menunjukkan sikap tidak hormat terhadap
institusi yang merupakan proponen penting dalam Perlembagaan Negara dan Negeri
itu bukannya untuk membetulkan kesilapan dan kesalahannya.
Pendeknya itu bukan permohonan
maaf tetapi menunjukkan sikap angkuh yang lebih dari apa yang telah ditunjukkan
sebelum ini. Walau macam mana pun sekarang ini Tuanku boleh memilih siapa
diantara yang dicalonkan oleh PAS kerana hanya PAS yang akur terhadap titah
Tuanku itu dengan menghantar tiga nama kepada Istana pada 3hb yang lepas.
Tidak pula diketahui samada DAP
bertindak menghantar tiga nama seperti yang dititahkan oleh Tuanku selepas Lim
Guan Eng bagi pihak DAP telah memohon ampun dari Tuanku Sultan Selangor
semalam.
Jika diteliti dengan halus,
Tuanku tidak pernah menolak PKR tetapi hanya mempersoalkan kewibawaan Wan
Azizah yang pernah diragukan kewibawaannya sebagai Menteri Besar kerana Wan
Azizah akan hanya menjadi Menteri Besar 'rubberstamp' sahaja.
Apa masalahnya jika dihantar
nama-nama lain dari PKR yang sudah pasti tidak akan membawa masalah kepada
perlantikan Menteri Besar baru itu. PKR mempunyai 12 orang ADUN yang lain yang
boleh dicadangkan untuk jawatan itu. Apa masalahnya namakan kesemua 12 orang
yang lain itu untuk dipilih oleh Istana memegang jawatan Menteri Besar itu?
Sesungguhnya masalah yang timbul diwujudkan oleh PKR sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan parti PAS atau yang lain.
No comments:
Post a Comment