MALAYSIAKINI
Hakim perlu memiliki keberanian moral untuk membuat keputusan tidak
popular dalam kalangan ahli politik atau media dan orang ramai," kata
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Beliau berkata hakim tidak perlu khuatir jika ada pihak yang tidak
berpuas hati dengan keputusan mereka jika mereka sudah menyediakan
penghakiman yang jelas berdasarkan autoriti undang-undang kes.
"Tidak ada arahan kepada hakim untuk bersetuju dengan keputusan majoriti
panel yang bersidang di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Persekutuan," katanya dalam ucapan pada majlis angkat sumpah 15 hakim
yang dilantik ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Persekutuan.
Panel Mahkamah Persekutuan yang bersidang untuk mendengar sesuatu kes
dianggotai lima atau tujuh hakim manakala Mahkamah Rayuan terdiri
daripada tiga hakim.
Arifin turut mengingatkan hakim agar menulis alasan penghakiman dengan
jelas dan dalam bahasa yang mudah difahami pihak terbabit terutama
mereka yang tidak diwakili peguam.
"Saya ingin berpesan kepada mana-mana pihak terutama para peguam agar
tidak mengambil tindakan yang membelakangkan kedaulatan undang-undang
dalam menyalurkan rasa ketidakpuasan hati terhadap keputusan mahkamah,"
katanya.
Beliau berkata hakim, pegawai kehakiman dan peguam perlu bersama-sama
memelihara martabat dan integriti kehakiman bagi mengelak kepercayaan
rakyat dalam proses keadilan di negara ini tergugat.
"Pada akhirnya, apa yang paling penting ialah persepsi umum terhadap
badan kehakiman. Sebuah badan kehakiman kehilangan nilai dan
perkhidmatan kepada masyarakat jika orang ramai tidak yakin dengan
keputusannya.
"Saya menggesa semua pihak agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab
dalam memuat naik pandangan serta pendapat mereka di laman media sosial
kerana kesannya amat besar dan boleh menghakis kepercayaan umum kepada
badan kehakiman," kata Arifin.
Menyentuh isu lain, beliau berkata berikutan pindaan terhadap Akta
Saraan Hakim 1971, mereka tidak dibenar bersara sebelum mencapai usia 60
tahun dan berkhidmat sekurang-kurangnya 5 tahun bagi membolehkan mereka
mendapat pencen.
Peruntukan baharu itu bertujuan menyediakan fleksibiliti kepada
mana-mana hakim yang merasakan bahawa beliau tidak dapat meneruskan
tugasnya atau ingin bersara awal atau sebarang alasan lain sebelum
mencapai umur persaraan wajib.
Arifin juga berkata beliau berpuas hati kerana kebanyakan hakim mematuhi
arahan amalannya yang tidak membenarkan perbicaraan mana-mana kes
ditangguh tanpa sebarang alasan kukuh.
Bagaimanapun, beliau mendapati ada hakim yang tidak mematuhi arahan
amalan yang menghendaki mereka membuat keputuan tidak lebih empat minggu
dan menyediakan alasan penghakiman dalam tempoh lapan minggu daripada
tarikh kes ditangguh untuk keputusan.
Di majlis itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azahar Mohamed, 58, Peguam
Cara Negara Tan Sri Idrus Harun, 59, serta enam Hakim Mahkamah Tinggi
Datuk Ahmadi Asnawi, 60, Datuk P. Nallini, 55, Dr Badariah Sahamid, 59,
Ong Lam Kiat Vernon, 57, Abdul Rahman Sebli, 55, dan Dr Prasad
Sandosham Abraham, 63, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai
Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan.
Azahar dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan manakala yang lain sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
Tujuh Pesuruhjaya Kehakiman iaitu Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, 55,
Datuk Wira Kamaludin Md Said, 56, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, 57, Teo Say
Eng, 62, Rosilah Yop, 56, Datuk Hashim Hamzah, 52, dan Datin Azizah
Nawawi, 52, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi. Pelantikan mereka
berkuat kuasa semalam.- Bernama
No comments:
Post a Comment