Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Hanya
seorang menteri kabinet iaitu Datuk Seri Idris Jala yang berani
menyatakan pandangannya menbantah penggunaan Akta Hasutan terhadap
pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Profesor Dr Azmi Sharom.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari
ini mencabar barisan menteri kabinet yang lain untuk mengikut jejak
langkah Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Bagaimana dengan Menteri-menteri yang lain? Adakah mereka
semua pengecut dan tidak berani bersuara menentang penggunaan Akta
Hasutan kepada hampir sesiapa sahaja yang tidak menyebelahi pihak
berkuasa?, kata Kit Siang dalam satu kenyataan.
Dalam satu siri kiriman di laman mikro twitter semalam,
Idris menulis, ‘kebebasan akademik diperlukan untuk mengejar ilmu
pengetahuan’.
“Azmi Sharom tidak sepatutnya didakwa kerana menghasut. Kebebasan Akademik diperlukan dalam menuntut ilmu.
“Malaysia perlu terus mengejar kesederhanaan. Kritikan yang
membina (atau) perbezaan pendapat harus dibenarkan selagi ia tidak
melakukan kesalahan hingga merosakkan masyarakat kita,” tulis Idiris di
akaun twitter @IdrisJala_.
Tambah Kit Siang, meskipun melakukan tindakan yang wajar
dipuji kerana menentang tuduhan dibawah Akta Hasutan keatas Azmi, namun
Idris dilihat tidak mempunyai keyakinan untuk mengakui bahawa kritikan
yang membina dan perbezaan pendapat adalah teras kepada perubahan.
Katanya, serangan bertubi-tubi terhadap pihak yang
mempunyai pandangan berbeza dengan pemerintah terbukti melalui siasatan
dan pendakwaan terhadap lebih 20 indiviidu yang terdiri dari ahli
politik Pakatan Rakyat, wartawan, peguam, aktivis sosial dan ahli
akademik.
Kit Siang mendesak kabinet menteri mengambil pendirian
dalam mesyuaratnya Rabu ini untuk menghentikan penggunaan Akta Hasutan
yang menimbulkan suasana menakutkan selepas zaman gelap pentadbiran Dr
Mahathir dan menjadikan Malaysia negara ‘demokrasi terbaik dunia’.
“Keadilan, kesaksamaan, keharmonian antara kaum, hak asasi
manusia, demokrasi, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik adalah
nilai yang menentukan sama ada Malaysia terjerumus sebagai negara kuku
besi, atau maju dengan lebih bebas, demokratik dan makmur,” ujarnya. –
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment