Tuesday, August 26, 2014

Zunar mahu saman The Star

MALAYSIAKINI



 


Kartunis Zulkiflee Anwar Haque kesal apabila tidak menerima sebarang permohonan maaf dari harian bahasa Inggeris, The Star kerana menyiarkan kartun beliau tanpa izin dalam akhbar itu pada 22 Ogos lalu.

Menurutnya, beliau akan memulakan tindakan undang-undang kerana tiada sesiapa dari akhbar itu menghubunginya bagi meminta maaf.

Tegasnya, kenyataan kesal yang diterbitkan oleh versi dalam talian akhbar itu hari ini "bukan bererti permintaan maaf mereka mencukupi".

Beliau yang dikenali dengan nama pena Zunar berkata penerbitan kartunnya tanpa sebarang keizinan adalah salah di sisi undang-undang dan moral.

Ia juga menyalahi Akta Hakcipta 1987, katanya lagi.

"Tiada sesiapa menghubungi saya dan saya tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada The Star.

"Menurut pemahaman saya, mereka belum lagi meminta maaf," katanya sambil menambah bahawa meminta maaf tidak cukup melalui "perkataan semata-mata".

Menurutnya lagi, beliau juga menganggap sebarang permohonan maaf yang disiarkan secara dalam talian bukan satu kenyataan rasmi.

"Kenyataan sedemikian (secara dalam talian) boleh diterbitkan dan kemudiannya ditarik semula," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam satu kenyataan hari ini, The Star kesal dan mengaku bertindak menyiarkan satu kartun garapan Zunar tanpa nama beliau.

"Pada 22 Ogos, The Star menerbitkan satu sisipan khas kenang-kenangan buat MH17.

"Dalam sisipan itu kami menggunakan visual dari pelbagai sumber media sosial.

"Salah satu visual itu tiada sebarang attribusi.

"Visual itu dihasilkan Zunar. Kami kesal dengan perkara ini," kenyataan itu dipetik.

The Star dalam halaman 12 akhbar bertarikh 22 Ogos menerbitkan kartun Zunar yang menggambarkan pesawat MH17 terbang dengan latar belakang langit berbentuk hati dan berwarna jingga.

Kartun tersebut disiarkan buat pertama kali oleh Malaysiakini pada 18 Julai.

No comments: