MALAYSIAKINI
Tindakan operator bas kilang yang mogok dan enggan masuk ke Singapura
awal pagi ini adalah tindakan yang tidak munasabah dan hanya menyusahkan
rakyat.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid
Syed Jaafar Albar berkata sebaliknya, operator bas kilang perlu
berbincang dengan syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka
sekiranya didapati kos meningkat.
"Mereka tinggalkan penumpang di Causeway, lepas tu (mereka ini) terpaksa
berjalan ke Singapura. Ini adalah tindakan yang tidak adil dan
munasabah. Bukannya cara yang baik untuk menyelesaikan masalah," kata
beliau kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kos kenaikan bukan ditentukan oleh kerajaan semata-mata
dan seharusnya pengusaha ini perlu berbincang dengan syarikat berkenaan
memandangkan mereka di bawah kontrak syarikat itu.
Syed Hamid berkata demikian ketika mengulas tindakan pengusaha bas
kilang yang enggan memasuki Singapura sehingga menyebabkan kesesakan
luar biasa di Tambak Johor selama beberapa jam awal pagi tadi.
Syed Hamid berkata berikutan tindakan pengusaha bas kilang itu, SPAD
akan menyiasat sama ada mereka ini ada melanggar peraturan di bawah Akta
Pengangkutan Awam Darat.
"Ini adalah sesuatu yang dibuat untuk negara (pengumuman tol baru) dan
bukannya untuk kepentingan mana-mana pihak. Singapura juga melakukan
perkara yang sama dengan menaikkan VEP (Permit Masuk Kenderaan),"
katanya.
"Pada saya, SPAD akan lihat sama ada tindakan operator bas kilang ini
ada melanggar mana-mana peraturan. Pada saya, mereka ini tertakluk
kepada undang-undang iaitu membawa penumpang, tidak boleh menyusahkan
orang ramai atau mendatangkan kesulitan kepada mereka," ujarnya lagi.
Syed Hamid berkata kerajaan sudah mengkaji dalam setiap segi dan dari
segi kepentingan rakyat sebelum mengumumkan kadar tol baru di Kompleks
Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar yang
bermula hari ini.
Selain tol baru yang bermula hari ini, Singapura turut menaikkan kadar
bayaran VEP bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki
Singapura daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari mulai hari
ini.
Pada masa sama, bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) berdaftar di
negara luar pula dinaikkan daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 atau
RM102.88.- Bernama
No comments:
Post a Comment