MALAYSIAKINI
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan
kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk tempoh
sekurang-kurangnya tiga ke empat tahun akan datang.
Beliau berkata ini berikutan kejayaan penstrukturan semula industri air
Selangor yang mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan industri tersebut.
"Dengan termeterainya Perjanjian Dasar Induk ini menandakan rundingan
penstrukturan semula industri air Selangor yang telah diusahakan
semenjak 2006 sudah hampir ke penghujungnya dan mencapai kejayaan,"
katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu
antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor di Putrajaya
hari ini.
Katanya pemeteraian perjanjian itu dengan kerajaan Pusat bagi
pelaksanaan penstrukturan semula industri air Selangor dan pembinaan
Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dianggap sebagai kemenangan untuk
rakyat.
"Kerajaan negeri juga berpandangan tawaran RM9.65 bilion yang diberikan
kepada pihak konsesi adalah adil dan munasabah tanpa merugikan
syarikat-syarikat yang terlibat," kata Abdul Khalid.
Menteri besar berkata kerajaan negeri telah membuat tawaran kepada
kesemua empat syarikat konsesi air dengan pemilik saham Syarikat Bekalan
Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium
Abass Sdn Bhd (Abass) telah menerima tawaran tersebut manakala
pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPALSH)
masih belum dimuktamadkan.
Terdahulu, Abdul Khalid menandatangani Perjanjian Dasar Induk bagi
penyelesaian jangka panjang isu air Selangor bersama-sama dengan
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
"Kejayaan mengambil alih SYABAS akan membolehkan kejayaan negeri memberi
tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dengan tujuan
menurunkan kadar air tak berhasil yang pada ketika ini sangat tinggi
iaitu 34 peratus," katanya.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Persekutuan dan
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Abdul Khalid dalam
nada berseloroh berkata: "Saya rasa beliau (Menteri KeTTHA Datuk Seri
Dr Maximus Ongkili) lebih senang daripada saya, saya ada tiga 'political
mother in-law'... masih ada harapan tapi tidak boleh lagi".- Bernama
No comments:
Post a Comment