KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata
Kerajaan Malaysia dan Australia akan menandatangani Memorandum
Persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama mereka dalam misi mencari
pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8
Mac lepas.
Menurut Liow, beliau akan berada di Australia dari esok untuk
menghadiri beberapa mesyuarat, diikuti dengan mesyuarat tiga pihak
bersama-sama Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss, dan rakan
sejawatannya dari China.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau mengulangi janji kerajaan
meneruskan misi mencari pesawat MH370 yang hilang daripada imbasan radar
pada awal pagi 8 Mac semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala
Lumpur.
"Ketika kami berusaha keras untuk keluarga mangsa MH17, saya juga ingin
memberi jaminan kepada waris penumpang (dan anak kapal) MH370 yang kami
tetap berpegang pada janji kami untuk meneruskan misi mencari pesawat
ini.
"Saya ulangi bahawa MH370 kekal menjadi keutamaan kami dan kerajaan Malaysia akan meneruskan pencarian ini," katanya.
Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu
dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi, yang menjadi kawasan
tumpuan misi mencari ketika ini, selepas operasi serupa di Laut China
Selatan dan Laut Andaman gagal menemukan sebarang objek yang ada kaitan
dengan pesawat itu.
Sementara itu, Liow sekali lagi mengucapkan simpati dan takziah kepada waris dan anggota keluarga mangsa MH17.
Seramai 23 daripada 43 mangsa warga Malaysia yang terkorban dalam nahas
itu telah dibawa pulang ke tanah air dari Belanda setakat ini, dengan
kumpulan ketiga jenazah mangsa dijangka tiba di tanah air pada 30 Ogos.
Pesawat MH17 dengan 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke
Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di
wilayah Donetsk, timur Ukraine.
No comments:
Post a Comment