Tuesday, August 26, 2014

Gua Musang pesat membangun di bawah ulama

ASLANI M 



 


GUA MUSANG: Sejak Kelantan di bawah teraju ulama Bandar Gua Musang kini banyak berubah wajah. Biar pun tiada bangunan pencakar langit, namun kawasan bandar baru makin meluas.

Selain bandar lama berhampiran Sungai Galas dan bandar baru terdapat dua lagi lokasi bandar baru sedang dibangunkan iaitu bandar utama dan terbaru bandar Saujana Harmoni.

Bandar baru terletak sekitar Masjid Tengku Fa-iz Petra, manakala Bandar Utama dibangun di Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Kini sebahagian kompenan termasuk rumah kedai dan kediaman sudah disiapkan.

Bandar Saujana Harmoni sedang dibangunkan di Kampung Tanah Putih terletak di jalan Gua Musang-Kuala Lumpur.

Penyelia Dun Galas, Abdullah Husain berkata, di Tanah Putih sebanyak 121 unit rumah mampu sedang dalam pembinaan ditawarkan dengan harga RM98,000.

“Projek yang bermula tahun lepas itu bakal mengandungi 53 unit rumah banglow, 118 unit rumah teres berkembar dan rumah kedai mampu milik 37 unit,” katanya di sini.

Selain itu akan dibina pasar raya TF Value Mart, tempat rehat dan rawat, stesen minyak, ML Residence Hotel dan masjid yang meliputi keseluruhan kawasan pembangunan seluas 1,000 ekar.

Projek tersebut dilaksanakan secara berfasa dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Perasmiannya projek rumah mampu milik kerajaan negeri itu disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob 21 Ogos lalu.

Kata Abdullah projek tersebut dilaksanakan bagi memastikan rakyat yang tidak mampu membina sendiri boleh memiliki rumah dengan tawaran harga sepadan kemampuan mereka.

Bagaimanapun projek perumahan rakyat yang dibina kerajaan pusat di bandar baru di belakang Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang sudah lama siap namun belum lagi diduduki.

Projek tersebut menjadi bahan kempen pada pilihan raya kecil Dun Galas pada 2010 sehingga ramai pengundi terpengaruh.

Seorang penduduk memberitahu projek itu sudah lama disiapkan, namun sehingga kini belum lagi diduduki.

“Saya dimaklumkan hampir kesemua pemohon yang dipilih dalam kalangan penyokong Umno dan BN. Ia adalah projek politik pilihan raya,” katanya di sini. - HARAKAHDAILY

No comments: