Monday, August 25, 2014

Dakwaan 'serangan seksual' dalam pesawat

MALAYSIAKINI


Warganegara Australia Laura Bushney, akhirnya mendedahkan kepada umum pengalaman diserang secara seksual oleh seorang ketua pramugara Malaysia Airlines (MAS).

Dalam rancangan temubual "Sunday Night" yang disiarkan saluran televisyen Australia Channel Seven hari ini, Bushney berkata ketua pramugara itu "mengurut kakinya" kononnya untuk "menenangkan beliau".

Menurut Yahoo! Australia Bushney berkata beliau tidak mampu bertindak balas kerana terlalu takut ketika insiden berlaku dalam penerbangan MAS MH20 dari Kuala Lumpur ke Paris 4 Ogos lalu.

"Saya hanya terus bertanya kenapa saya tidak menjerit? Kenapa saya tak hentikannya (perbuatan itu)? Saya seorang yang kuat kerana saya boleh berbuat demikian. Saya tahu saya boleh," kata beliau dipetik dari temubual itu.

Rakaman audio insiden itu yang dibuat menerusi telefon bimbit turut didedahkan dan Bushney didengari membisik "Dia (pramugara) sedang mengurut kaki saya... Saya sangat takut, saya kena turun dari kapal terbang ini."

Menurut laporan itu, Bushney berkata pramugara itu meletakkan tangan di kakinya kemudiannya menggerakkan jarinya ke arah pusat wanita itu tetapi ditolak.

Bushney dilapor mengadu kepada polis di Lapangan Terbang Charles De Gaulle selepas mendarat di Paris dan pramugara itu dikatakan telah membuat pengakuan.

Ia menambah, MAS mengesahkan seorang penumpang membuat dakwaan itu terhadap seorang kru penerbangannya.

“Kakitangan syarikat yang dipersoal itu sudah ditahan dan disiasat oleh polis Perancis,” MAS dipetik sebagai berkata.

Dilaporkan MAS juga berkata mereka meletakkan piawai tertinggi berhubung tingkah laku anak kapalnya dan memandang serius dakwaan itu.

No comments: