SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim digesa mendedahkan butiran Perjanjian Dasar Induk yang ditandatanganinya bersama Kerajaan Persekutuan semalam.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Khalid
harus kotakan janjinya untuk bertindak telus dalam pemerintahannya
sementelah rakyat juga berhak untuk mengetahui isi kandungan perjanjian
air itu.
"Siapa yang tahu perincian perjanjian itu? Beliau kena ada tanggungjawab, mesti ada ketelusan dalam apa yang dilakukan.
"Khalid tidak boleh syok sendiri. Beliau kena rujuk dengan Dewan Negeri ataupun exco terlebih dahulu sebelum buat keputusan.
"Penolakan ini memberikan satu gambaran bahawa rakyat hendak tahu apa
yang dipersetujui itu, kerana ia bukan rahsia," katanya kepada
Antarapos, hari ini.
Terdahulu Khalid mengikat perjanjian induk mengenai penstrukturan air
dengan Putrajaya yang menurut beliau, memberi jaminan kadar tarif air di
Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk sehingga empat tahun akan
datang.
Ini bukan kali pertama Khalid membelakangkan PKR dan beliau terus
berani membuat keputusan bersendirian untuk isu-isu besar melibatkan
kepentingan rakyat meskipun kedudukannya kini ibarat 'telur dihujung
tanduk'.
Khalid kini menjadi mangsa percaturan politik PKR yang mahu
menggulingkannya daripada kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor.
PKR sebelum ini menegaskan perjanjian antara kerajaan negeri Selangor
dengan kerajaan Persekutuan yang ditandatangani Khalid itu bersifat
berat sebelah dan memihak kepada Putrajaya.
Parti itu mendakwa perjanjian itu memberi kuasa luas kepada Putrajaya dalam pengurusan industri air Selangor.
Perjanjian semalam sekaligus bermakna kerajaan negeri Selangor terikat
kepada syarat-syarat yang termaktub di dalamnya sekali pun Khalid gugur
daripada jawatannya itu.
Sebelum ini Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata pihaknya
bercadang mengkaji semula perjanjian air yang dimeterai oleh Khalid
dengan Putrajaya dan tidak mahu beliau menandatangani Perjanjian Dasar
Induk tersebut.
Perkara itu hanya boleh dilaksanakan jika Khalid digantikan dengan calon penggantinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selepas menandatangi Perjanjian Dasar Induk itu semalam, Khalid
dilaporkan berkata perkembangan terbaru itu dianggap sebagai kemenangan
untuk rakyat.
Kerajaan negeri telah membuat tawaran kepada kesemua empat syarikat
konsesi air dengan pemilik saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd
(SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass)
telah menerima tawaran tersebut.
Bagaimanapun pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPALSH) masih belum dimuktamadkan.
No comments:
Post a Comment