Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: ADUN Kajang yang baharu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggunakan kesempatan berbahas di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini untuk membela suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu ketika perbahasan menjunjung titah Sultan Selangor,
menyifatkan seteru politik UMNO-Barisan Nasional (BN) sebagai obses
kepada Anwar sehinggakan seringkali menyebut nama Ketua Umum PKR itu
untuk dikritik.
Sebaliknya, Wan Azizah yang juga Presiden PKR, memuji kecekapan dan
sumbangan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor hingga berjaya
meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi negeri itu.
"Saya kurang faham obsesi Anwar Ibrahim dalam UMNO, di mana-mana cakap pasal Anwar Ibrahim.
"Macam tidak boleh tidak cakap tentang Anwar Ibrahim.
“Semenjak Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor,
ekonomi di Selangor telah meningkat sebanyak 6.1 peratus. Inilah
sumbangan penasihat ekonomi.
“Dalam pada masa yang sama, telah membantu untuk meningkat ekonomi negara juga,” katanya.
Wan Azizah menambah, dengan adanya Anwar Ibrahim sebagai penasihat maka
negeri yang ditadbir oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
itu kekal sebagai penyumbang terbesar terhadap Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) Malaysia, iaitu sebanyak 23.5 peratus.
Beliau turut menggunakan sidang DUN sebagai platform untuk menangkis
dakwaan Anwar memperlekehkan usaha Kerajaan Persekutuan dalam usaha
mencari pesawat MH370 yang hilang 8 Mac lalu.
Jelasnya, tindakan suaminya memberi reaksi tentang kehilangan pesawat
itu adalah kerana mendapat jemputan untuk diwawancara oleh media asing.
"Kalau mula-mula kita melihat bagaimana reaksi kerajaan apabila tragedi
MH370 berlaku, itu yang menjadi tanda tanya. Percanggahan fakta-fakta
yang telah diberikan," katanya.
Wan Azizah kemudiannya memperlekehkan tanggungjawab dan kredibiliti
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan maklumat
kepada wartawan tentang perkembangan usaha mencari dan menyelamat
pesawat tersebut.
"Kalau dibandingkan dengan Perdana Menteri, dia memanggil sidang media dan juga tidak menjawab soalan," katanya.
No comments:
Post a Comment