KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan kerajaan BN sebagai "kerajaan pembohong" kerana enggan menarik balik pembohongan berkaitan Peristiwa Memali.
"Kalau dalam tragedi berdarah seperti Peristiwa Memali pun kerajaan BN begitu tegar membohongi rakyat, tidak ada jaminan sama sekali ia tidak berbohong dalam perkara lain.
"Orang Putih kata "once a liar always a liar" - sekali jadi pembohong sampai bila-bila pun pembohong," katanya yang sebelum itu cuba membangkitkan usul supaya Kertas Putih Memali ditarik balik berdasarkan bukti-bukti terbaru.
"Dewan Rakyat telah dibohongi oleh Kertas Putih Memali," katanya ketika membangkitkan perkara itu.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berusaha untuk membangkitkan usul yang telahpun ditolak sebelum ini oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Usul itu dibuat berikutan kenyataan Tun Musa Hitam sebelum ini yang menyatakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya berada dalam negara dan bukan berada di luar negara.
Selama ini kerajaan mendakwa bahawa Dr Mahathir sedang dalam lawatan ke China ketika berlakunya peristiwa serangan pihak berkuasa ke atas penduduk kampung di Memali sehingga mengakibatkan 18 orang terbunuh termasuk empat anggota polis.
"Jadi bagi saya bahawa adalah wajar untuk Parlimen membincangkan malah perlu menarik balik Kertas Putih Memali yang menunjukkan bahawa pada waktu itu berlaku pembohongan," kata Mahfuz.
Beliau menekankan bahawa Musa yang pada waktu itu adalah Menteri Dalam Negeri dan juga Timbalan Perdana Menteri mengakui pada waktu kejadian 19 November 1985, Dr Mahathir masih berada dalam negeri dan bukan berada di China sebagaimana dihebahkan kepada umum.
"Kedua, kata Tun Musa Hitam, beliau bukanlah pemangku Perdana Menteri pada waktu berlakunya peristiwa Memali seperti dilaporkan.
"Selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Tun Musa mengambil tanggung jawab sepenuhnya dan bersedia untuk mendedahkan fakta sebenar peristiwa Memali," kata beliau.
Mahfuz berkata, sepatutnya kerajaan membawa satu usul untuk menarik balik Kertas Putih itu dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Beliau mengingatkan tentang kesediaan Musa untuk memberikan keterangan sebenar berkaitan peristiwa Memali.
Sehubungan itu, Mahfuz mempertikaikan alasan Yang Dipertua Dewan menolak usul tersebut atas alasan kenyataan Musa itu dibuat di dalam forum.
"Sedangkan kenyataan beliau itu konsisten. Dalam forum kemudian dibuat lagi penegasan beberapa hari selepas itu dalam kenyataan media yang bertulis," tegas Mahfuz.
Bagaimanapun, usaha Mahfuz membangkitkan perkara itu ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.
"Saya terikat dengan Peraturan Mesyuarat 18(8) di mana usul yang ditolak tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh lagi dibaca dalam Majlis Mesyuarat," katanya.
No comments:
Post a Comment