Thursday, April 10, 2014
Tian Chua tarik diri sebab yakin boleh bekerja dengan Saifuddin, Khalid
Pemimpin senior PKR Chua Tian Chang (gambar) memberi alasan penarikan diri daripada pertandingan timbalan presiden parti kerana yakin boleh bekerja Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Chua, yang juga penyandang Naib Presiden PKR, berkata keputusan menarik diri dibuat selepas berbincang dengan Khalid dan Saifuddin.
"Selepas penamaan, saya berbincang secara intensif dengan Khalid dan Saifuddin.
"Kemudian saya pertimbangkan, akhirnya saya mendapati mereka juga membawa (agenda) sama seperti yang saya mahukan," kata Chua selepas dihubungi The Malaysian Insider.
Chua, yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, sebelum itu mengadakan sidang media mengumumkan penarikan diri daripada jawatan kedua PKR tersebut.
Ahli Parlimen Batu tersebut menjelaskan penarikan dirinya kerana yakin mampu bekerja dengan salah seorang calon timbalan presiden tersebut.
"Ini adalah tanggungjawab bersama, saya rasa boleh mainkan peranan dalam kepimpinan dengan salah seorang daripada mereka menjadi timbalan.
"Jadi, saya rasa lebih baik untuk saya tarik diri dan biarkan mereka bertanding," kata Chua.
Hari ini adalah tarikh akhir untuk mengumumkan penarikan diri daripada mana-mana jawatan peringkat pusat.
Setakat ini, hanya Chua mengumumkan penarikan diri. Khalid dan Saifuddin dijangka meneruskan cabaran ke atas penyandang Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Chua juga mengesahkan akan mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya.
Namun, beliau menegaskan penarikan dirinya dalam pertandingan kali ini tidak bermakna beliau menyokong mana-mana calon yang bertanding untuk jawatan penting tersebut.
Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.
Kira-kira 500,000 ahli PKR layak mengundi pada pemilihan kali ini, ahli PKR paling ramai adalah di Selangor dengan sebanyak 144,020, diikuti dengan Sabah sebanyak 86,955.
PKR melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment