KUALA LUMPUR : Selepas kalah dalam dua tuntutan saman akibat fitnah, blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris bakal berdepan tindakan sama sekali lagi.
Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli dalam sidang media di parlimen hari ini berkata, beliau akan memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri atas fitnah yang dibuatnya pada tahun 2012.
Ini berikutan pendedahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan lisannya bahawa Wan Muhammad Azri adalah Papagomo yang menaiki kapal selam Scorpene pada 2011.
“Dengan pendedahan terbaru identiti papagomo ini saya akan membuat satu laporan polis dan memfailkan fitnah saman terhadapnya.
“Saya telah difitnah kononnya dipecat dari Petronas kerana melakukan pecah amanah. Pada hujung 2012 saya telah tampil menafikan tuduhan tersebut secara terbuka,” jelas Rafizi sambil menjelaskan proses tersebut akan dilakukannya dalam masa terdekat.
Wan Muhammad Azri sebelum ini diarahkan oleh mahkamah untuk membayar gantirugi kerana mmfitnah seorang ahli perniagaan.
Mahkamah juga baru-baru ini mengarahkan blogger Umno itu membayar ganti rugi kerana melakukan fitnah bagi mencemarkan nama baik Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
No comments:
Post a Comment