MALAYSIAKINI
Polis meminta penganjur perhimpunan bagi bantah pelaksanaan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dirancang diadakan di Dataran
Merdeka pada 1 Mei ini, dipindah ke lokasi baru yang lebih sesuai.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata penganjur
perlu mengambil kira banyak isu keselamatan dan ketenteraman awam di
bandar raya ini sebelum meneruskan perhimpunan itu di Dataran Merdeka,
lapor Bernama.
"Kita khuatir jika diteruskan di situ, ia akan mendatangkan ketegangan dan mengganggu keselesaan orang awam.
"Lagi pula buat masa ini, Dataran Merdeka tidak boleh digunakan kerana
masih menjalani proses menaik taraf padang dan tidak sesuai digunakan
untuk sebarang aktiviti memandangkan terdapat mesin dan bahan binaan
seperti besi dan kayu-kayan di sekeliling padang," katanya dalam sidang
media hari ini.
Beliau berkata pihaknya pernah mengadakan mesyuarat bersama penganjur
perhimpunan, yang dihadiri Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia
S.Arutchelvam, berhubung perkara itu.
"Mereka kata hanya akan dapat bagitahu keputusan (pindah lokasi) Isnin
ini selepas berbincang dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (Mat
Sabu), namun kita berharap mereka bersetuju dan kemudian mengadakan
perhimpunan itu di Padang Merbok atau Stadium Merdeka," katanya.
Zainuddin turut menjangkakan kesesakan jalan raya di Jalan Raja, Jalan
Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut pada hari
perhimpunan.
Setakat ini, polis menerima 31 laporan membantah cadangan mengadakan perhimpunan itu, katanya. - Bernama
Sementara itu, ketika dihubungi, jurucakap jawatankuasa perhimpunan
bantah GST 1 Mei, S Arutchelvan berkata penganjur akan bermesyuarat esok
bagi membincangkan tempat alternatif.
Arutchelvan telah bertemu dengan Zainuddin petang ini selama kira-kira 20 minit.
"Pada dasarnya mereka menunjukkan kepada kita gambar padang di Dataran
Merdeka di mana pembinaan telah dijalankan dan kita bersetuju untuk
tidak turun ke padang," katanya.
Menurutnya, mereka mencadangkan menggunakan jalan di hadapan Dataran
Merdeka atau mungkin ruang awam lain dan pihak polis memberitahu akan
menemui mereka semula.
Arutchelvan yang juga setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM)
berkata mesyuarat dengan pihak polis yang bermula jam 4.10 petang tadi
berjalan dengan baik.
"Polis berkata mereka mahu membantu kami seperti menempatkan kakitangan
perubatan dan ambulans, jadi mereka perlu tahu lokasi sebenarnya,"
katanya.
Arutchelvan berkata jawatankuasa itu dijangka akan membuat keputusan tengah hari esok.
No comments:
Post a Comment