Tuesday, April 1, 2014

Penganjur: Demo besar bantah GST 1 Mei

MALAYSIAKINI


 


Satu gabungan NGO dan parti politik mengumumkan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei untuk membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Penganjurnya, Jawatankuasa 1 Mei mensasarkan demo besar-besaran di Kuala Lumpur itu sebagai referendum rakyat bagi mendesak kerajaan membatalkan pelaksanaan cukai berkenaan.

Jurucakapnya, Dr Hatta Ramli (kiri) yang mewakili PAS berkata usaha mengadakan perhimpunan tersebut dibuat dengan mengambil kira kejayaan perhimpunan besar yang dianjurkan sebelum ini, termasuk dessakan untuk memnasuhkan ISA pada 2008.

“Macam dulu (berhubung isu) ISA pun, lepas kita turun ke jalan, selepas 50 tahun baru (kerajaan) mansuhkan,” katanya dalam sidang media bersama anggota jawatankuasa tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai jumlah peserta yang dijangka akan hadir ke perhimpunan tersebut, Hatta berkenaan ia pasti lebih ramai berbanding perhimpunan menuntut pemansuhan ISA.

“ISA tidak mempengaruhi semua orang, hanya orang tertentu sahaja. Tapi GST beri kesan kepada semua orang,” katanya lagi yang enggan memberi jumlah peserta yang disasarkan.

NGO lain yang menganggotai jawatankuasa itu termasuk Solidariti Anak Muda Malaysia, Gabungan Mansuh ISA, Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil dan Gerakan Turun Kos Sara Hidup.

Rang undang-undang untuk melaksanakan GST dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Rafizi: M'sia banyak cukai tersembunyi

Sementara itu Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dalam sidang media sama menegaskan Pakatan Rakyat akan terus memperjuangkan kempen anti-GST dan bersama NGO lain memberi penerangan berkenaan pelaksanaan cukai itu.

Menurut Rafizi (kanan), walaupun mengakui GST merupakan sistem percukaian yang efektif, ia amat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

"GST sesuai dilaksanakan di negara yang berpendapatan tinggi atau amat rendah saja. Di negara berpendapatan tinggi mereka mengurangkan cukai pendapatan tetapi perbelanjaan isu rumah dengan cukai GST masih sama.

"Tidak di Malaysia apabila banyak cukai tersembunyi ditanggung. Hutang isi rumah pada kadar 82 peratus," kata beliau.

Justeru beliau merumuskan himpunan ini merupakan kesinambungan terhadap perkara yang diperjuangkan Pakatan sejak dulu.

"Sejak 2009, kita dah lawan di Parlimen, kita dah lawan di jalan. Kalau kita boleh lawan di mahkamah pun kita lawan," tambah beliau.

Seorang lagi anggota jawatankuasa, S Arutchelvan (kiri) berkata perkara itu sudah disuarakan oleh golongan pekerja sejak dulu lagi.

Malah beliau yang merupakan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata parti itu telah mengadakan himpunan anti GST sejak 2010 lagi.

Beliau yang menerajui himpunan kali ini berkata pihaknya akan terus mendapatkan sokongan dengan menggembleng NGO lain serta memastikan mobilisasi dari negeri lain agar himpunan ini mendapat sambutan.

No comments: