MALAYSIAKINI
MP PAS dari Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa
anggota Parlimen bukan beragama Islam agar menyokong undang-undang hudud
untuk Kelantan sekiranya ia dibentangkan di Parlimen.
Menurut Khairuddin, anggota Parlimen bukan Islam wajar membawa hasrat
pengundi beragama Islam yang menyokong mereka dan sedar bahawa
melaksanakan undang-undang jenayah Islam adalah satu kewajipan.
Menurutnya lagi, MP bukan beragama Islam juga tidak perlu gusar kerana
undang-undang itu hanya dikenakan ke atas mereka yang beragama Islam.
"Kita juga mengharapkan sokongan ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang
membawa mandat pengundi-pengundi Islam atas kesedaran bahawa
undang-undang jenayah Islam adalah satu kewajipan beragama bagi Muslim
dan hanya dikenakan kepada orang Islam," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menggesa agar MP dari BN membentangkan usul bagi meminda Perlembagaan itu di Parlimen.
Jelas beliau ini kerana hal berkaitan jenayah yang akan tertakluk di
bawah hudud sekiranya ia dilaksanakan, buat masa ini adalah di dalam
bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
"PAS menyedari bahawa pelaksanaan undang-undang yang telah dikanunkan
terbatas dan terhalang oleh Jadual 9 Perlembagaan yang meletakkan kuasa
perundangan jenayah adalah di bawah kuasa kerajaan Persekutuan dan
bukannya kuasa kerajaan negeri.
"Maka menjadi kewajipan bagi ahli Parlimen Islam di Malaysia berusaha
dengan apa sahaja kaedah dan cara di Parlimen yang membolehkan
pelaksanaan undang-undang tersebut di peringkat negeri.
"Kita menyambut baik kenyataan menteri di jabatan perdana menteri di
Parlimen baru-baru ini yang menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak ada
halangan untuk mana-mana negeri melaksanakan undang-undang jenayah
islam.
"Kenyataan itu perlu disusuli dengan tindakan oleh kerajaan pusat untuk
membawa sebarang pindaan perlembagaan ke Parlimen atas nama kerajaan
yang berkuasa yang membolehkan ia dilaksanakan di peringkat negeri,"
katanya lagi.
MP Ketereh dari BN, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini menyatakan
kesediaannya untuk menyokong usul hudud Kelantan dengan syarat sekutu
PAS dalam Pakatan Rakyat tidak membantah cadangan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, juga
telah menyatakan kesediaannya untuk menyokong usul tersebut.
No comments:
Post a Comment