Tuesday, April 8, 2014

Mengapa musuh mudah lolos walaupun ada ESSCOM



Oleh MOHAMAD HUSAIN
(Ketua Penerangan PAS Sabah)


PAS Sabah memandang serius peristiwa penculikan yang berlaku pada 2 April 2014 lalu di Pulau Singamata Semporna, Sabah. Penculik yang melibatkan kumpulan bersenjata api dari luar negara itu telah melarikan seorang pelancong wanita berasal dari China manakala seorang lagi berasal dari Filipina yang juga merupakan pekerja resort peranginan berkenaan.

Ironisnya, penculikan ini berlaku hanya selang beberapa bulan daripada peristiwa sebelum ini yang terjadi pada 15 November 2013 apabila seorang lelaki warganegara Taiwan ditembak mati dan isterinya pula telah diculik.
Masih segar dalam ingatan kes yang menggemparkan negara pada tahun lalu lebih 200 orang bersenjata api mendarat di Tanduo, Lahad Datu. Sejak peristiwa itu, beberapa kali penceroboh cuba menyusup masuk ke perairan Sabah.

Mala petaka apakah yang menimpa negeri Sabah khususnya rakyat negeri ini? Nyawa terdedah kepada ancaman bahaya dan menggugat keselamatan.
Di manakah tanggungjawab pihak kerajaan terutama Kerajaan Persekutuan yang diamanahkan menjaga ketenteraman awam dan negara dari serangan musuh dan penceroboh?
Mengapakah dengan tertubuhnya ESSCOM (East Sabah Security Command) yang melibatkan 10 daerah di Timur  Sabah, musuh masih lolos? Kerajaan sewajarnya mengkaji semula penubuhan ESSCOM ini.

PAS Sabah sangat bersimpati atas kesengsaraan petani dan nelayan yang bergantung hidup di kawasan laut. Begitu juga para pengusaha resort dan perhotelan serta industri pelancongan  turut juga mendapat kesannya.
Justeru,PAS Sabah menegaskan supaya kerajaan menambahbaik kawalan perairan Sabah agar semua rakyat dapat hidup aman dan selamat.

No comments: