Masih dail nombor telefon anak Amirtham tidak pernah putusputus cuba menelefon anaknya Puspanathan sejak kehilangan MH370 dilaporkan hingga semalam.
 
 
 
 TELOK PANGLIMA GARANG - A Amirtham, 60, ibu kepada penumpang pesawat MH370, S Puspanathan meluahkan rasa terkejut mendengar suara operator sebaik dia mendail nombor telefon bimbit anaknya, selepas sarapan pagi semalam.

Bercerita lanjut, ibu yang masih mengharapkan kepulangan anaknya itu memberitahu, sebelum ini, setiap kali mendail nombor telefon Puspananthan, hanya respons error yang tertera. Tetapi sebaliknya berlaku, semalam.

"Saya sangat terkejut dengar bunyi 'nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi'. Sebab sebelum ini kalau saya dail nombor dia, tiada bunyi apa-apa kemudian keluar perkataan error. Tapi hari ini (semalam) bila saya dengar suara operator, saya betul-betul terkejut," katanya.

Amiratham berkata, kira-kira jam 10.15 pagi semalam, dia tergerak hati mendail nombor anaknya itu selepas menikmati sarapan kuey tiaw goreng yang juga makanan kegemaran Puspanathan.

Dia kelihatan sebak ketika menceritakan kejadian itu sambil mengakui bukan ingin menolak segala kemungkinan yang berlaku. Tetapi dia dan keluarga masih mengharapkan kepulangan Puspanathan walaupun lambat.

Dia memberitahu, jika selepas ini nombor telefon anaknya itu tidak aktif lagi, dia akan terus mendailnya, dan itulah yang dilakukannya semenjak hari pertama kehilangan pesawat MH370 dilaporkan, 8 Mac lalu.

“Walaupun orang kata penemuan pesawat itu sangat sukar sebab dah sebulan berlalu, tapi saya dan keluarga masih harap semua penumpang selamat.

“Saya nak tengok anak saya di depan mata, tak kisahlah dia dalam keadaan apa sekali pun. Saya percaya masih ada harapan,” katanya yang mulai tenang menjawab pertanyaan wartawan.

Dalam pada itu, Amirtham memaklumkan dia juga mesti mengambil sikap berjaga-jaga apabila menerima kunjungan orang awam kerana risau kejadian tidak diingini berlaku kepada keluarganya, lebih-lebih lagi selepas mendengar berita salah seorang ahli keluarga penumpang pesawat MH370 terlibat dalam kejadian samun.

“Saya kena berhati-hati sama ada berseorangan atau ketika bersama saudara-mara di rumah. Apa-apa boleh berlaku. Memang kadang kala saya tak benarkan orang yang tidak dikenali masuk, termasuk pemberita,” katanya.

Sementara itu, adik kepada seorang lagi penumpang MH370, Zurihan Yusop, 43, ketika dihubungi semalam memaklumkan dia juga cuba menghubungi abangnya Muzi, 50, namun tiada perubahan pada talian abangnya itu.

Katanya, dia masih mendengar suara berkomputer menyebut 'nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi, sila cuba sekali lagi.'

“Dari mula kehilangan pesawat, sehingga hari ini saya cuba dail, ia tetap sama dan tidak aktif,” katanya.