Thursday, April 3, 2014

Mari berhanana dan mari kita bersama berjuang!


DR AZMAN IBRAHIM


Semasa program bersama PAS Kawasan Sepang sabtu lepas, antara topik diskusi yang menarik untuk dikongsi bersama adalah fenomena ‘Yaa Hanaanaa’…

Isunya, ada segelintir aktivis perjuangan Islam yang tak lagi menunjukkan komitmen dengan kerja-kerja dakwah, tarbiyah dan siasah kerana leka dan lebih berminat dengan ‘Yaa Hanaanaa…’

Kononnya kata mereka, kami rasa lebih tenang, relaks, tak ada orang marah dan tak terkejar-kejar masa ke sana kemari.

Saya akui, ya! Tepat sekali! Bila kita sekadar ‘Ya Hanaanaa’ tak ada siapa pun yang akan marah dan bencikan kita. Kita pun boleh relaks. Duit pun tak habis, ada banyak masa lapang, tak perlu ke sana ke mari dan macam-macam lagi.

‘Ya Hanaanaa’ tak salah. Silakan saja siapa yang berminat. Cuma satu soalan mudah saya nak tanya, apakah Islam boleh tegak dengan hanya kita berhanaanaaa?

Sebab apa tak ada siapa yang marahkan kita? Sebabnya sekadar ‘berhanaanaa’, ia tak menggugat sesiapa. Tak ada kezaliman yang ditegur. Tak ada mungkar yang dicegah, amat malang sekali kalau ke arah makruf pun tak diajak.

Imam Hassan Al Banna ada menyebut, “Apabila pintu-pintu penjara mula dibuka, tali-tali gantung mula dipersiapkan untuk kita, itulah tandanya perjuangan kita mula menampakkan kejayaan.”

Sekiranya Islam yang kita bawa tak dimusuhi oleh kuasa kebatilan bermakna ada sesuatu yang tak kena dengan apa yang sedang kita perjuangkan. Sunnah Allah menentukan kebenaran dan kebatilan akan sentiasa bertembung. Apabila bertembung tentunya kita dibenci, dimusuhi. Apabila bertembung tentunya kita perlu berkorban demi apa yang kita yakini. Di sinilah wang ringgit, masa, tenaga, buah fikiran malah mungkin darah dan nyawa akan menjadi pertaruhan.

Pada zaman Salafus Soleh, para sufi berada di saf hadapan perjuangan Islam. Bukannya mereka sekadar leka dengan zikir dan tasbih. Di samping air mata mereka yang mengalir saat berzikir kepada Allah, peluh dan darah mereka juga mengalir di medan perjuangan.

Antara ulama sufi yang terkenal adalah Imam Hassan al-Basri. Saya sempat menziarahi makamnya di Basrah, Iraq. Pada hari kematiannya, Bandar Basrah seakan-akan sunyi sepi kerana hampir keseluruhan penduduknya menziarahi jenazah Hassan al-Basri.

Kalau Hassan al-Basri sekadar leka dengan zikir dan Yaa Hanaanaaa, nescaya dia tak akan dikasihi oleh manusia sebegitu rupa. Kenapa dia disayangi dan dikagumi? Kerana beliau adalah seorang ulama sufi, pejuang yang berjasa besar kepada Islam dan umat manusia.

Kepada peminat Yaa Hanaanaa, ajaklah saya sama untuk berhanaanaa kerana saya juga turut berminat. Dalam masa yang sama, saya juga nak mengajak saudara semua untuk kita bersama-sama berjuang demi ketinggian Islam!

No comments: