Saturday, April 5, 2014

Mana pergi satelit, radar AS?


Mana pergi satelit, radar AS? Amerika mempunyai sistem radar tercanggih di dunia.


SHAH ALAM – Sejak kehilangan pesawat MAS MH370 8 Mac lalu, beberapa negara telah mendedahkan penemuan satelit mereka yang menunjukkan objek berpotensi dikaitkan dengan  pesawat berkenaan.

Negara-negara tersebut ialah Australia, Perancis, Thailand, Japan dan tidak ketinggalan United Kingdom melalui satelit Inmarsat.

Namun, agak menghairankan apabila negara yang mempunyai rangkaian satelit tercanggih di dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) langsung tidak berkongsi penemuan satelit mereka.

Seperti diketahui juga, AS merupakan negara yang paling mendahului dalam bidang penguasaan teknologi, termasuklah peralatan dan pesawat canggih yang pastinya mempunyai keupayaan untuk mengesan di mana sesebuah pesawat berada.

Sebagai contoh, AS memiliki dan melancarkan satelit reconnaissance (pemantauan) paling banyak dengan kemampuan yang boleh menjangkau luas seluruh pelosok dunia.

Pernah digunakan sewaktu perang di Iraq dan Afghanistan, satelit yang sering kali dirujuk sebagai satelit perisikan ini bukan saja berfungsi mengambil gambar.

Malah, ia juga digunakan sebagai pengendali peluru berpandu nuklear dan membantu sistem komunikasi antara markas tentera dengan sistem keselamatan yang tidak mudah ditembusi.

Dalam kes membabitkan pesawat komersial, satelit dengan teknologi infra-red ini pernah mengesan letupan TWA Flight 800 pada 1996 di Lautan Atlantik.

Bukan saja satelit, AS juga memiliki kecanggihan radar yang boleh mengesan sebarang isyarat atau objek walaupun ianya bersaiz kecil.

Perkara itu turut diakui pakar kejuruteraan penerbangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Rizal Effendy Mohd Nasir yang dalam satu laporan Sinar Harian berkata, radar ketenteraan milik AS di Diego Garcia mampu menjejaki pesawat MH370 sekiranya lokasi penerbangan terakhir adalah di Lautan Hindi.

Menurutnya, radar jenis Active Electronically Scanned Array (AESA) yang digunakan di pangkalan ketenteraan itu boleh mengesan pesawat atau kapal yang berada ribuan meter di atas udara mahupun laut berserta jenis, kelajuan dan sebagainya.

Katanya, setiap kapal dan pesawat yang terdapat di pangkalan ketenteraan terbabit juga dilengkapi dengan radar pertahanan udara yang mampu mengesan objek beribu-ribu kilometer jauhnya termasuk apa yang terkandung di dasar Lautan Hindi.

Tidak cukup itu, USS 7th Fleet Navy yang dihantar dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 turut dilengkapi radar paling canggih.

Dengan kepakaran dan kecanggihan aset dimiliki AS ini, sememangnya menimbulkan persoalan besar mengapa MH370 masih tidak dapat dikesan oleh negara berkenaan.

Untuk menganggap kehebatan teknologi AS sebagai cerita yang direka-reka mungkin agak mustahil. Atau mungkin juga kita boleh menganggap AS tidak mendedahkan segala maklumat kepada umum kerana diklasifikasikan sebagai rahsia ‘besar’.

Namun, apa yang lebih dikhuatiri ialah AS sebenarnya mempunyai agenda tertentu di sebalik ‘persembunyian’ teknologinya yang tidak diketahui oleh Malaysia.

No comments: