Friday, April 4, 2014

Kawasan Kes Culik Di Resort Semporna Ada Banyak Sejarah Penculikan Lain

culik
Gambar fail yang diambil pada 27 Mei 200 menunjukkan kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf di luar sebuah masjid di Pulau Jolo, Filipina. Foto AFP

Oleh: T. AVINESHWARAN 


PETALING JAYA: Kes penculikan dua wanita di Singamata Reef Resort, Semporna merupakan salah satu insiden penculikan yang banyak berlaku di pantai Sabah selama ini.

Pada Oktober 1979, kumpulan lelaki bersenjata merampas feri, Saleha Baru, dengan 44 orang di dalamnya, di Semporna.

Mereka membebaskan 27 tebusan dalam masa dua hari, tetapi 17 ditahan selama berbulan-bulan sebelum mereka akhirnya dibebaskan.

Dua penumpang terbunuh dalam kejadian itu, seorang gadis berusia 11 tahun lemas dan seorang lelaki ditembak oleh perampas.

Pada 23 April 2000, sebuah kumpulan yang diterajui Abu Sayyaf menculik diculik 21 orang di Pulau Sipadan.

Mereka yang diculik dibawa ke kem kumpulan itu di Pulau Jolo di mana kesemua mereka ditahan selama enam bulan.

Mereka kemudiannya dibebaskan secara berperingkat-peringkat dengan yang terakhir dikeluarkan pada 11 September tahun yang sama.

Pada 12 September 2000, 14 lelaki menaiki dua bot laju dengan bersenjatakan senapang M-16  menculik tiga rakyat Malaysia di Pulau Padanan, 38 kilometer (km) timur laut Semporna.

Tebusan diselamatkan apabila angkatan tentera Filipina melancarkan serangan terhadap pemberontak tersebut beberapa hari kemudian.

Pada 8 Februari 2010, dua rakyat Malaysia yang bekerja di ladang ternakan rumpai laut di Pulau Sebangkat ditangkap oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali.

Kedua-dua mereka yang diculik, Lai Wing Chau, 35, dan Tsen Vui Chung, 43, dijadikan tawanan selama lebih 10 bulan sebelum dibebaskan di Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina.

Dua tahun kemudian pada 14 November 2012, Tung Wee Jie dan Wee Wei kedua-duanya adalah sepupu diculik di ladang sarang burung mereka yang dikendalikan keluarga di Lahad Datu.

Wee Jie, 26, berjaya melarikan diri dari penculik itu dengan melepaskan dirinya menggunakan garpu selepas ditawan selama hampir sembilan bulan di Pulau Jolo.

Sepupunya, Wee Wei, malangnya tidak dapat diselamatkan kerana meninggal dunia ketika berada dalam kurungan.

Dua insiden berlaku pada 2013, yang pertama pada 27 Ogos, apabila kira-kira 20 lelaki bersenjata menculik sembilan nelayan Malaysia dari dua bot berhampiran Pulau Mabul.

Bagaimanapun, kumpulan lelaki bersenjata segera membebaskan mangsa dan melarikan diri selepas mereka ditipu oleh tawanan mereka belayar ke pangkalan Pasukan Gerakan Am berhampiran Pulau Mabul.

Pada 15 November, kumpulan lelaki bersenjata menyerbu tiga daripada lima vila terapung di Pulau Pom Pom.

Ketika pencerobohan itu, pelancong Taiwan, Hsu Lin Min, 57, terbunuh, dan isterinya Chang An Wei, 58, diculik.

Selepas 36 hari, beliau dibebaskan oleh penculik dan kembali dari pulau Jolo di selatan Filipina.

No comments: