Kapal selam UK sertai misi mencari MH370 Kapal selam British, HMS Tireless berlabuh di selatan perairan Sepanyol. Kapal selam nuklear tersebut menyertai operasi mencari MH370 di Lautan Hindi. - Foto EPA


KUALA LUMPUR - Kapal selam kelas Trafalgar Britain, HMS Tireless, telah tiba di selatan Lautan Hindi tatkala misi mencari pesawat Malaysia yang hilang di kawasan itu masuk hari ke-26 hari ini.

Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia, dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini berkata, Setiausaha Negara bagi Pertahanan UK Philip Hammond memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi telefon semalam.

"Dengan keupayaan melakukan pencarian di dalam air, kapal selam HMS Tireless akan dapat membantu dalam usaha untuk mengesan lokasi pesawat hilang itu.

"UK sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kehilangan pesawat  itu dan memberikan pelbagai bantuan," menurut kenyataan itu.

Kapal peninjau hidrografik pelbagai fungsi, HMS Echo, dijadual tiba di selatan Lautan HIndi untuk membantu misi pencarian itu, katanya. - Bernama

"Selain membantu usaha mencari transponder pada kotak hitam, HMS Echo akan memainkan peranan penting dalam pencarian serpihan di permukaan air.

"Kecanggihan dan keupayaannya dalam menilai keadaan persekitaran juga akan membantu pihak berkuasa pencarian untuk mengoptimumkan operasi pencarian," menurut kenyataan itu.
 
Kerajaan UK juga membantu dengan meminjamkan pakar untuk memberikan bantuan teknikal dan keupayaan kepakaran dari Kementerian Pertahanan, Pejabat Hidrografik, Jabatan Pengangkutan dan Pejabat Meteorologi untuk membantu mengesan pesawat itu, katanya.
 
Empat anggota Tentera Udara Diraja yang dipinjamkan ke Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Diraja juga terlibat secara aktif dalam operasi pencarian maritim, menurut kenyataan itu.
 
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
 
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama