KOTA BHARU: Golongan muda diseru turun beramai-ramai pada Himpunan Bantah GST di Dataran Merdeka 1 Mei depan.
Exco Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penyertaan anak muda pada himpunan itu juga sebagai menunjukkan bantahan kepada pelaksanaan GST yang dijadual akan dilaksanakan di negara ini bermula tahun 2015.
"Ini kerana golongan paling teruk terjejas dengan pelaksanaan cukai ini nanti ialah golongan muda yang masih belum stabil dari sudut mata pendapatan.
"Jika golongan muda gagal menunjukkan bantahan besar-besaran terhadap cukai yang bakal diperkenalkan ini, ia akan memberikan petanda seolah-olah tindakan zalim kerajaan Umno-BN tu tidak diendahkan oleh rakyat khususnya golongan muda yang 'celik maklumat'," ujarnya yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan menyeru anak-anak muda yang hadir nanti untuk turut menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Kelantan mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian mengenai hudud ke Parlimen.
RUU itu dibawa bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 dilaksanakan di negeri Serambi Makkah itu.
"Pelbagai cara bagi menunjukkan sokongan boleh dibuat, tetapi saya menyeru dengan satu tema simbolik iaitu kita mengenakan lilitan hijau di kepala di dalam himpunan berkenaan," kata beliau.
No comments:
Post a Comment