Oleh Subky Latif
Syabas! Saya sambut baik saranan dua penalis Forum Perdana RTM sempena Hari Polis bahawa perkhidmatan polis adalah ibadat.
Polis jangan terkejut, kiranya mereka sekadar menunaikan ibadat khusus, solat fardu dan tidak tinggal puasa bulan Ramadhan, tetapi tidak rajin bangun solat malam, tiada puasa sunat, sedekah jariahnya tidak ada, tiba-tiba didapati dalam catatan buku amal solehnya sarat dengan ibadat justeru pahala daripada sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota polis.
Tidak kira dia ketua polis negara, ketua polis daerah, sarjan atau polis biasa yang tidak berpangkat, dia menjalankan tugas dengan baik bagi menjaga keamanan negara dan rakyat, maka apa jua yang dilakukannya adalah ibadat di sisi Allah.
Bukan solat lima waktu, haji, zakat dan puasanya saja ibadat kepada Allah, jaga lalu lintas waktu sesak, berjaga malam, mengawal kuil dalam perayaan agamanya supaya tidak diganggu pengacau, mengejar perompak dan lain-lain juga ibadat di sisi Islam.
Cuma penalis tidak jelaskan macam mana kerja seorang polis itu boleh jadi ibadat yang mengaut pahala dan bagaimana pula ia satu perkhidmatan makan gaji saja yang tidak mendatangkan apa-apa?
Kena terangkan bahawa setiap ibadat itu ada sah dan batalnya. Betapa adanya orang yang tidak meninggalkan solat fardu, tetapi penat saja kerana solatnya tidak khusyuk dan tidak mengikut feqahnya.
Perlu dibentangkan feqah polis itu supaya khidmatnya penuh pahala. Semua pahala khidmat seorang ketua polis negara dulu dipercayai batal semuanya kerana dia memukul Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digari dan mata ditutup hingga pengsan dan mata lebam berminggu-minggu.
Mereka kena tahu feqah ibadat bagi polis. Ikut mazhab polis Mesir sekarang, payah ada pahala.
Mazhab polis England dan polis Jepun langsung tidak menjadi ibadat.
Yang pertama, yang menjadikan ia ibadat ialah niatnya menjadi polis. Dia mesti masuk polis kerana Allah.
Macam orang solat kerana supaya orang tengok, tidak kerana Allah, solatnya sia-sia.
Seorang bukan Islam yang cemerlang tugasnya tidak jadi ibadat dan tiada pahala. Dia mendapat kepujian atas perkhidmatan cemerlangnya saja. Syarat ibadat di sisi Allah ialah Islam dulu. Katalah Tan Sri Ananda Krishna yang kaya raya mendirikan berbelas-belas masjid.
Dia dapat kepujian saja tetapi buku amal solehnya tidak ada sebab dia belum masuk Islam. Tiada ruang pahala dalam buku amalnya.
Jika feqah PDRM itu ada, maka akan ada hak bagi bukan Islam untuk menjadi polis dan ada hak untuk memegang jawatan berpangkat.
Tetapi faedah yang didapatinya adalah faedah perkhidmatannya. Mereka tidak pernah dikira beribadat. Macam bapa saudara Rasulullah Abu Talib. Jasanya melindungi Islam dan Nabi amat besar tetapi semuanya tidak dikira ibadat.
Seorang anggota polis mesti ditanya, mengapa dia memilih jadi polis? Kalau dia suka jadi polis kerana perkhidmatannya, maka belum tentu jadi ibadat jika tidak kerana Allah. Ia akan dikira sama dengan penyembah berhala. Jika penyembah berhala ditanya mengapa dia jadi penyembah berhala, kalau dia kata sebab suka pada ukiran berhala itu. Apa bezanya?
Oleh, itu tiadalah jadi polis itu secara automatik menjadi ahli ibadat tanpa melalui syarat yang dibentangkan oleh feqah ibadat polis.
Adalah benar masuk polis kerana Allah atau setelah terpilih menjadi polis, dan itulah pekerjaan yang dia boleh dapat, dia pun berniat membetulkan nawaitunya, maka dia sudah tidak lagi sekadar berkhidmat, tetapi menunaikan amal soleh. Dan bila dia takut kepada Allah, maka dia tidak buat apa yang boleh mencacatkan ibadatnya
No comments:
Post a Comment