KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendapat bahawa adalah sangat penting para ulama berperanan menjernihkan keadaan ketika umat menghadapi kemusykilan isu kenaikan kos sara hidup dan pelbagai kemelut hidup akibat kepincangan urustadbir pemerintah.
“Di kala umat sangat mengharapkan kefahaman dan keprihatinan dari pemerintah dan apabila umat hilang arah untuk menyalurkan aduan agar masalah mereka didengari, ulama adalah tempat umat mengharap dan mengadu,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Katanya, rakyat mengharapkan ulama menegur umara supaya tidak terus mengenepikan keresahan rakyat.
Beliau berkata, untuk mendakwa penyaluran maklumat mengenai isu kos sara hidup kepada Perdana Menteri tidak diusahakan adalah tidak tepat.
Katanya lagi, suara rakyat, termasuk ahli akedmik dan pemimpin politik dari dalam dan luar kerajaan yang dikumpul dan disiar dalam media sepatutnya sudah cukup untuk PM memberi respons yang wajar terhadap keresahan rakyat.
Tambahnya, tidak timbul isu mahu menggulingkan kerajaan kerana rakyat hanya menuntut agar kos sara hidupkan diturunkan.
Menurut Azmi, sudah banyak pengajaran dari negara-negara di seluruh dunia apabila rakyat bangkit kerana pemerintah tidak telus dalam membuat keputusan dan akhirnya menambah beban rakyat.
Lagipun, ujar beliau perkataan mengguling kerajaan telahpun dinafikan oleh pihak yang penganjur perhimpunan dan siasatan telahpun dijalankan oleh pihak polis.
“Ternyata yang menjadi arahan polis ialah perhimpunan haram tidak boleh diadakan bukan soal hendak menggulingkan kerajaan.
“Jika tuduhan niat asal untuk menggulingkan kerajaan masih diungkit maka ia hanya persepsi yang perlu dibuktikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, perhimpunan Turun yang diadakan oleh pihak penganjur jelas bermakna mendesak pihak kerajaan menurunkan kos sara hidup bukan menggulingkan kerajaan.
Tegasnya, pilihan menubuh atau menukar kerajaan melalui pendekatan demokrasi masih menjadi pilihan rakyat.
“Rakyat sudah biasa dengan terlibat beramai-ramai dalam perhimpunan yang tidak dibenar oleh pihak keselamatan namun tidak berlaku usaha penggulingan kerajaan seperti yang diwar-warkan.
“Kerap ditegaskan bahawa perhimpunan yang hendak diadakan adalah perhimpunan aman,” ujarnya.
Namun, kata beliau jika ada pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk melakukan provokasi ganas dengan bertindak liar atau membawa senjata maka ia harus disiasat dan bukan terus didakwa ia bukti pihak penganjur mahu melakukan kekerasan.
Oleh yang demikian, kata Mohd Azmi adalah tidak wajar ulama bersikap simplistik dengan membuat rumusan dari maklumat yang tidak tepat dengan hanya bersandar kepada media lalu mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan umat dan menegangkan suasana.
“Kami sangat mengharapkan ulama dan pemimpin politik menyantuni resah rakyat agar penyelesaian yang lebih bermakna dapat dicapai dan supaya mengelakkan emosi saling mencabar dan menuding berterusan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment