Wednesday, January 29, 2014

Anwar mahu temui pengkritik beri penjelasan

MALAYSIAKINI





Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menemui pengkritiknya, termasuk peguam Datuk S Ambiga, rakan Pakatan Rakyat dan mungkin BERSIH 2.0, berikutan hasratnya untuk bertanding kerusi DUN Kajang.

Anwar mengakui keprihatinan tersebut adalah adil serta merasakan beliau berhutang penjelasan kepada mereka dan rakyat.

"Mereka ingin mendengar dari saya mengapa saya mengambil keputusan untuk bertanding. Saya terima kritikan rakan-rakan dan lain-lain yang menuntut saya jelaskan. Ambiga juga mahu saya berikan penjelasan dan itu adalah adil.

"Saya akan bertemu dan menjelaskan kepada mereka, termasuk penduduk Kajang," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Malam tadi Ambiga berkata PKR berhutang penjelasan kepada rakyat berikutan peletakan jawatan secara mendadak ADUN Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh pada hari Isnin dan Anwar akan bertanding di kerusi tersebut.

BERSIH 2.0 juga mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan PKR itu sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi.

No comments: