KUALA LUMPUR: Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin atau 'Chegubard' hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan pada malam ambang tahun baharu.
Chegubard, 35, yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) didakwa bersama-sama Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian, 23, dan Pengarah Propaganda SAMM, Edy Nor Reduan, 33.
Mohamed Bukhairy dan Edy Nor turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama iaitu menganjurkan perhimpunan membantah kenaikan harga barang dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini antara 9 malam 31 Dis 2013 hingga 1 pagi 1 Jan lepas.
Mereka didakwa gagal memberitahu Ketua Polis Dang Wangi 10 hari sebelum tarikh perhimpunan tersebut.
Mereka didakwa melanggar perintah mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.
Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap mereka yang didakwa. Kesemuanya didakwa sebagai orang kena saman (OKS) dan ketika pertuduhan dibacakan 'Chegubard', Mohamed Bukhairy dan Edy Nor berdiri di luar kandang tertuduh.
Peguam Eric Paulsen yang mewakili ketiga-tiga OKS bagimanapun memohon anak guamnya dijamin dengan bon peribadi kerana kes itu hanyalah kes saman dan jumlah yang dipohon oleh Suhaimi adalah terlalu tinggi serta membebankan.
Hakim Azman Mustapha kemudian membenarkan setiap OKS diikat jamin dengan bon peribadi RM5,000 tanpa cagaran dan menetapkan 27 Feb untuk sebutan. - Bernama
No comments:
Post a Comment