Oleh : NAEEM RAFFI
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) ketandusan calon berwibawa mahupun calon boleh menang untuk ditempatkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.
Kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Selangor daripada PKR, DAP dan PAS memberikan kenyataan berhubung calon yang boleh dijadikan ‘ayam tambatan’ oleh BN untuk menandingi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ADUN Taman Medan (PKR), Haniza Talha, berkata senario yang dihadapi kepimpinan BN hari ini sama seperti senario pencarian calon parti itu di Selangor ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.
“Berbeza dengan PR yang mempunyai ramai calon muda dengan pelbagai latar belakang dan kredabiliti yang bagus,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.
Katanya, BN tidak mempunyai pilihan sebaliknya perlu lebih kental mengharungi jalan sukar dalam mencari calon boleh menang mendepani pencabarnya, Anwar.
Beliau berkata, kepercayaan dan keyakinan rakyat hari ini semakin menjalar hebat kepada PR, sekali gus menolak kepimpinan BN.
“Bukan BN tidak mempunyai calon. Persoalannya adakah rakyat khususnya di wilayah bandar masih menaruh keyakinan menggunung dan percaya kepada kepimpinan BN.
“Kita sedia maklum, ramai calon BN yang dahulunya bertanding di kawasan bandar, lari ke luar bandar dan kampung kerana mereka sendiri sedar bahawa sambutan rakyat terhadap BN hambar,” katanya.
“Kalau Najib berani, apa salahnya mencuba nasib di Kajang. Ia mungkin lucu tetapi tidak mustahil jika beliau (Najib) benar-benar berani untuk bertembung satu lawan satu dengan Anwar.
“Mungkin peluang yang sama boleh dipertimbangkan (Datuk Seri) Noh Omar. Mana tahu beliau mahu mengukur adakah masih mempunyai pengaruh di Selangor,” katanya.-NFN-
No comments:
Post a Comment