Tuesday, January 7, 2014
Jais ikut SOP ketika serbuan, Selangor akan wujud dialog antara agama
Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM) minggu lalu adalah berlandaskan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak berkuasa agama berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Salehin Mukhyi.
Salehin pada sidang media bersama Paderi Lawrence Andrew di pejabatnya di Shah Alam berkata, pihaknya akan mengkaji dan memperkemaskan semula SOP Jais dengan mengkehendaki badan penguatkuasa agama berkenaan memaklumkan kepada exco terlebih dahulu berhubung isu antara agama.
"Jais ikut SOP sedia ada. Buat masa sekarang, tindakan Jais itu betul. Serbuan yang dilakukan Jais adalah berdasarkan aduan orang ramai,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak itu berkata, titah Sultan Selangor berkenaan larangan penggunaan perkataan Allah oleh kumpulan penganut agama bukan Islam juga perlu dipatuhi.
"Tuanku sebagai ketua agama. Maka, sebarang tindakan berkaitan enakmen itu, maka ia terpakai dalam konteks negeri Selangor, kita ikut titah Sultan Selangor," katanya merujuk kepada Enakmen 1988 iaitu Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan Penyebaran Agama Kepada Orang Muslim) yang melarang penganut agama lain menggunakan 35 perkataan termasuk Allah, Nabi dan Injil.
Minggu lalu, Jais menyerbu premis PBM di Damansara dan merampas 300 kitab Bible versi Bahasa Melayu dan Iban.
Salehin berkata, kitab Bible yang dirampas Jais itu turut mengandungi cop Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Adun Klang, Charles Santiago yang turut hadir di sidang media berkenaan turut mempersoalkan tindakan Jais menyerbu premis PBM sedangkan mereka mempunyai pilihan dengan mengadakan "perbincangan halus."
"Isu yang kita bangkitkan apa SOP Jais. Ini bukan kali pertama. Jais perlu bertanggungjawab. Cara menyiasat mesti halus. Serbuan itu salah," katanya.
Salehin berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada KDN berhubung kebenaran mengimport Bible berbahasa Melayu dan Indonesia ke Semenanjung Malaysia.
"Saya akan minta menteri memperjelas keputusan jemaah menteri untuk membenarkan import Bible dalam bahasa Melayu.
"Sejauh mana menteri beri kefahaman kepada negeri dan sejauh mana ia bertentangan dengan enakmen di negeri-negeri," katanya.
Sementara itu, Lawrence tetap dengan pendiriannya gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka.
"Kenyataan saya adalah berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Setiap agama boleh melakukan upacara keagamaan mereka. Saya tidak boleh beritahu Islam, Buddha, Hindu, apa perlu mereka buat.
"Kami mahu dialog. Mari bina jambatan dan jadi seperti adik dan abang," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut terhadap kritikan dan kecaman beberapa pihak terhadap dirinya ekoran kenyataan tersebut.
Hujung minggu lalu, sekumpulan pertubuhan badan bukan kerajaan menganjurkan demonstrasi terhadap Lawrence dan menuntut permohonan maaf pengarang akhbar mingguan Herald itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment