Suasana
Dataran Merdeka yang dipenuhi oleh peserta himpunan Turun menjelang
sambutan tahun baharu Selasa lalu. Gambar kecil: Harussani.
[DIKEMASKINI] SEJAK kenyataannya mengenai peserta
demonstrasi malam 31 Disember lalu dikaitkan dalam golongan bughah
(pemberontak), Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terus menerima
pelbagai cemuhan hingga ada desakan yang mahukan beliau meletakkan
jawatan. Ada juga yang percaya kenyataannya disalah tafsir beberapa
pihak. Wartawan Sinar Harian, Haslina Kamaludin mendapatkan penjelasan
beliau berhubung isu berkenaan.Apakah kenyataan sebenar Tan Sri mengenai demonstrasi baru-baru ini?
Kenyataan asal saya adalah berdasarkan demonstrasi pertama, iaitu ‘guling kerajaan’.
Kumpulan ini berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat. Oleh kerana mereka mahu menggulingkan kerajaan, saya kaitkan dengan firman ALLAH SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud; ‘Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.’ Nama 'guling kerajaan' itu telah ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai, dan diganti dengan Turun. Walaupun mereka menukar nama, tetap dengan maksud sama.
Apakah pandangan Tan Sri apabila ada pihak mendakwa kenyataan bughah itu sebagai terlalu berat?
Bughah atau darah halal itu dalam konteks membahayakan nyawa orang lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan. Mereka kata mereka benar, tetapi cara mereka salah. Ayat (al-Quran) itu sudah lengkap. Walau apa pun alasan, cara itu tetap salah. Saya juga tidak bercakap kosong. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri.
Apakah itu dikatakan aman? Jika benar tidak setuju dengan harga barang dan kenaikan kos sara hidup, buatlah cara yang betul. Pergi pejabat Perdana Menteri, beri memorandum. Demonstrasi bukan penyelesai kepada masalah, malah ia menambah masalah kepada orang lain. Saya sendiri, kalau ada yang tidak kena, saya akan jumpa perdana menteri dan nyatakan apa yang benar mengikut ajaran Islam. Tapi, kalau berkaitan ekonomi atau yang lain-lain, itu bukan kepakaran saya.
Timbul dakwaan mengatakan Tan Sri tidak bijak dalam mengeluarkan kenyataan kerana demonstrasi itu tidak seperti digambarkan?
Macam-macam orang lempar kenyataan kepada saya, tetapi saya tidak kisah kerana saya bercakap berlandaskan al-Quran. Bukan saya pandai-pandai cakap.
Ada pihak yang mendakwa, Tan Sri menerima bayaran untuk bercakap seperti itu?
Saya tidak terkejut dengan kenyataan yang mengatakan saya dibayar untuk kenyataan seumpama itu. Walaupun diletak duit depan saya dengan nilai setinggi RM10 bilion pun, saya tidak akan sesekali bercakap bukan dari landasan Islam. Untuk apa mereka mengatakan begitu? Orang itu telah memusingkan fakta, apa yang saya kata berdasarkan firman ALLAH SWT. Bukan saya reka, jauh sekali nak cari publisiti. Kalau orang itu, mungkin juga…. Saya hairan, kerana yang menuduh saya itu mengaku ahli agama. Kita nak buat kerja agama kena jujur, jangan tukar kenyataan, inilah yang jadi. Di mana salahnya? Saya gunakan ayat al-Quran. Bukan saya cakap-cakap sahaja. Nak kata apa, katalah. Banyak yang mengata, banyak juga yang menyokong saya. Kenyataan asal saya disalah ertikan beberapa pihak hingga terjadi macam ni.
Mengapa selepas empat hari baharu Tan Sri mahu tampil membuat sidang media?
Sebenarnya, jadual harian saya begitu padat menyebabkan ia perlu ditangguhkan. Kalau ikut saya, tidak ada sidang media atau apa sahaja penjelasan. Tidak ada yang salah dalam kata-kata saya. Tapi, atas nasihat Timbalan Mufti (Zamri Hashim) dan pegawai-pegawai agama di Perak, saya turutkan. Saya tidak suka layan orang yang tidak tahu agama tetapi seolah-olah bijak dalam bab-bab ini. Saya memilih Isnin memandangkan minggu ini, saya sangat sibuk. Hari ini pun saya masih di Kuala Lumpur, ada urusan keluarga.
Mengapakah Tan Sri menolak untuk bertemu rombongan Pemuda Pas Perak?
Saya bukan tidak mahu bertemu. Pada ketika itu, saya ada tetamu dari pagi hingga petang. Mereka datang ke pejabat saya tanpa ada sebarang surat. Buat apa saya jumpa mereka yang hanya ingin membuat kacau? Selama ini, saya tidak pernah menghalang sesiapa pun, dari parti mana pun untuk bertemu (saya). Pengalaman saya dengan Pas, tidak akan ada penyelesaian, akhirnya bertengkar, meninggi suara hingga satu pejabat boleh dengar. Jadi, lebih baik tidak bertemu.
Bagaimana dengan desakan yang mahu Tan Sri meletakkan jawatan sebagai Mufti?
Saya tidak sesekali akan meletakkan jawatan sebagai mufti. Kalau nak diikutkan, saya sudah pencen, tapi sehingga kini, khidmat saya masih diperlukan. Sudah 29 tahun saya menjadi mufti dan 18 tahun sebagai kadi di Pulau Pinang. Saya tidak akan meletak jawatan dan tunduk dengan semua kecaman itu. Saya akan terus menegakkan Islam, dan tidak gentar dengan sebarang kata-kata jahat terhadap saya
No comments:
Post a Comment