PETALING JAYA: Akibat memanggil seorang
menteri sebagai 'bapa mertua', kumulan pelawak Shiro dikatakan bakal
digam Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Bagaimanapun, ahlinya, Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Bin
Razak, 28, menafikan desas desus itu dan memberitahu hubungan Shiro
dengan RTM masih baik sehingga hari ini.
Katanya, selepas mengendalikan sebuah rancangan di RTM sempena malam
tahun baharu 2014 pada Selasa, Shiro masih belum dimaklumkan apa-apa
perkembangan bersabit dakwaan bakal digam RTM.
"Kami tidak tahu atau dimaklumkan apa-apa daripada pihak RTM tentang
perkara tersebut, malah selepas rancangan itu, RTM masih memanggil kami
untuk mengendalikan rancangan terbitan mereka.
"Boleh dikatakan hubungan Shiro dengan RTM setakat ini memang baik dan
pihak stesen televisyen tersebut sentiasa memberi kami peluang dalam
pelbagai rancangan mereka sejak kami muncul dalam industri," katanya
dipetik mStar Online.
Ajak berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip di ruangan
pojok akhbar mingguan yang mendakwa kumpulan tersebut bakal digam oleh
RTM kerana menyampaikan lawak 'bodoh' di hadapan Menteri Komunikasi dan
Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan beberapa artis veteran di
Konsert Jubli Emas TV Malaysia, baru-baru ini.
Shiro dikatakan terlalu mencuba untuk menarik perhatian menteri
tersebut dengan memanggil beliau sebagai bapa mentua setiap kali muncul
di pentas.
Tambah Ajak, persembahan yang dilakukan pada malam tersebut hanya
selingan ketika waktu iklan ke udara dan tidak disiarkan di televisyen.
"Ya... kami ada menyentuh tentang bapa mentua kerana kami tahu anak
beliau baru sahaja berkahwin, namun bagi saya ia tidaklah sampai
keterlaluan dan berniat untuk mempersendakan beliau seperti dikhabarkan
itu," ujarnya.
Bagaimanapun, mereka meminta maaf jika lawak tersebut ada mengguris
hati mana-mana pihak yang menonton persembahan mereka pada malam
tersebut.
Tambah Ajak, mereka akan lebih berhati-hati dalam membuat persembahan terutamanya program yang melibatkan orang kenamaan.
No comments:
Post a Comment