KELAB GREENBOC
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tidak gentar dengan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan fahaman Syiah.
Mohamad Sabu tidak gentar dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendedahkan bukti secara terperinci mengenai pemimpin PAS yang terlibat dengan fahaman Syiah.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, beliau sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu termasuk ketika pemilihan parti Islam itu baru-baru ini.
“Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya yang dikenali sebagai Mat Sabu ketika ditemui The Malaysian Insider, malam tadi.
Mohamad berkata, sejak menyertai PAS pada awal 1980-an, beliau sudah biasa dipenjarakan termasuk dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1984 dan semasa Operasi Lalang pada 1987.
“Peguam masih lagi kaji tindakan susulan yang akan dilakukan. Kita tunggu dulu pendedahan dia,” katanya merujuk kepada Ahmad Zahid. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada Ahmad Zahid memaksudkan dirinya kerana Timbalan Presiden PAS bukan jawatan nombor dua dalam parti Islam itu.
“Di dalam PAS, jawatan tertinggi adalah Mursyidul Am yang dipegang oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala jawatan kedua tertinggi adalah Tuan Guru Datuk Haron Din,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, beberapa bukti bahawa pemimpin PAS terlibat dengan fahaman Syiah akan diterangkan secara terperinci dalam satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat.
Katanya, sidang akhbar itu akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin yang didakwa terlibat itu tidak perlu takut atau menafikan penglibatannya dalam fahaman Syiah.
"Kenapa dia takut. Kalau pegawai saya tunjukkan bukti dia nak cakap apa?
“Salah satu elemen orang Syiah ialah berpura-pura," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di Putrajaya, semalam.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak mahu umat Islam berpecah-belah seperti negara lain hanya kerana fahaman mazhab berbeza.
Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Sabtu berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah.
"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS.
"Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab memegang portfolio agama.
Jamil Khir berkata, pembuktian kukuh perlu dibuat untuk menuduh seseorang itu penganut Syiah.
Katanya, ajaran Syiah bukan melibatkan parti semata-mata, kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang penganut fahaman berkenaan.
Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Jakim sudah ada bukti untuk menahan Mohamad, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.
"Elok tanya Zahid. Elok tanya polis,” katanya. -TMI
Nik Aziz: Sebelum serang Syiah, bersihkan dahulu “taring daripada daging mangsa”
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bangkit menempelak pihak yang menyerang Syiah dengan berkata: "Jika Syiah menipu, nasional sekular apa kurangnya."
Nik Aziz berkata:"Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala.
"Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa," sindir Nik Aziz.
Beliau juga mencabar pihak berkuasa supaya melakukan tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik jika mahu membanteras Syiah.
"Soalnya, bagaimana ingin membuat tangkapan sedangkan di dalam parti sendiri pun berselindung penganut ajaran sesat," kata bekas Menteri Besar Kelantan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Tanpa menamakan sesiapa Nik Aziz dipercayai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangkap “orang nombor dua PAS” atas dakwaan syiah.
Ketika dikatakan orang nombor dua PAS itu adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Zahid berkata, beliau tidak pernah menyebut nama Mohamad Sabu.
Nik Aziz berkata, beliau terbaca kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik yang menyebut tentang Syiah dan menyatakan ciri utama Syiah ialah menipu.
"Jika ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular pun tidak kurang menipu berbanding Syiah.
“Tidakkah menipu namanya apabila mewar-warkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun dalam masa yang sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut,” katanya.
Beliau berkata, Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak berbelas abad dan ciri akidah mereka ada ditulis dan diterangkan oleh ulama Sunnah dalam banyak penulisan.
Sehubungan itu, katanya, ulama berperanan untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah.
Nik Aziz berkata, beliau menyokong bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini tetapi meletakkan alasan membanteras Syiah supaya umat Islam tidak berpecah menunjukkan pemimpin berkenaan masih kabur dalam terang.
"Justeru, janganlah mendabik dada diri sebagai pembela Islam dengan menghentam Syiah.
"Masyarakat sudah bijak untuk menilai bahawa bukannya Syiah yang ingin diserang, tetapi parti lawan yang semakin mendapat sambutan," katanya. – TMI
Kalau berpura-pura tanda Syiah, dalam Umno pun ramai penganutnya
Dalam reaksi awalnya mengenai dakwaan yang dibuatnya di penggulungan Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu bahawa orang nombor dua dalam PAS iaitu Mohamad Sabu mengamalkan ajaran Syiah, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukti terperinci mengenainya akan dibuat dalam sidang akhbar khas yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya akan mendedahkan bukti-bukti mengenai dakwaan yang dibuatnya itu dan pemimpin yang didakwa itu tidak perlu takut atau menafikan penglibatannya dalam amalan Syiah itu.
"Kenapa dia perlu takut. Kalau pegawai saya tunjukkan bukti, dia nak cakap apa? Salah satu elemen orang Syiah ialah berpura-pura," tegas Naib Presiden Umno itu lagi.
Adoyai, takkan sikap berpura-pura boleh dikaitkan dengan Syiah!
Sementara menunggu sidang akhbar khas itu diadakan dan bukti-bukti lain didedahkan, sehingga ini pemahaman Ahmad Zahid ialah orang-orang yang berpura-pura sudah boleh dikategorikan sebagai pengamal ajaran Syiah. Tidakkah ini lawak jenaka jadinya?
Mengaitkan sikap dan perangai berpura-pura sebagai elemen Syiah adalah terlalu dangkal dan lemah. Pura-pura ialah salah satu sikap dan perangai manusia. Ia tidak ada kena-mengena dengan agama atau amalan Syiah. Berpura-pura juga tidak mengenal agama, bangsa dan warna kulit.
Dalam Islam ada orang yang berpura-pura, di kalangan bukan Islam pun ada. Di kalangan orang putih atau di kalangan orang Afrika pun ada sikap itu. Begitu juga di kalangan bangsa dan agama lain.
Pendeknya, sikap dan perangai berpura-pura ini boleh didapati di mana-mana saja. Ia ada di Amerika, di negara-negara Arab, di zaman dahulu, zaman sekarang dan zaman akan datang. Di negara kita pun ramai yang berpura-pura.
Ia juga tidak mengenal Islam atau bukan Islam, Syiah atau bukan Syiah.
Di dalam PAS ada yang berpura-pura, malah di dalam Umno juga mungkin lebih ramai jumlahnya. Bagi yang pernah bertanding apa-apa jawatan dalam Umno, sama ada di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi, tentu amat faham tentang perangai berpura-pura ini.
Adakah ini bermakna dalam Umno juga ramai penganut Syiah?
Suatu ketika, pernah seorang pemimpin Umno yang bertanding jawatan Pengerusi Tetap Umno Malaysia melahirkan rasa kecewanya dengan sikap perwakilan Umno yang bersikap berpura-pura di depannya dengan mengatakan telah memberikan undi kepadanya sedangkan beliau akhirnya kalah juga.
Kata pemimpin tersebut, kalau ikutkan yang bersalam dan mengaku memberi undi kepadanya, jumlahnya hampir 1,500 orang tetapi akhirnya undi yang diperolehinya tidak sampai pun 300 jumlahnya. Apakah mereka itu penganut Syiah belaka?
Sudah tentulah tidak masuk akal untuk mengatakan berpura-pura itu salah satu elemen Syiah kerana sikap itu bersifat umum dan ada pada semua kelompok manusia, dan bukannya ciri mutlak orang Syiah.
Sebagai Menteri Dalam Negeri yang berani membuat dakwaan secara terbuka kepada Mat Sabu sebagai pengamal Syiah, Ahmad Zahid tidak seharusnya cuba berselindung dengan memberi hujah atau bukti yang longgar dan umum mengenai dakwaan yang dibuatnya sehingga akhirnya tafsiran umum ialah beliau sengaja membangkitkan isu itu sekadar untuk meraih publisiti semata-mata.
Ini kerana dengan hujah atau bukti yang longgar, sudah tentu orang yang dituduh dengan mudah saja menangkis dakwaan itu dan penyudahnya dakwaan mengenai Syiah yang dibangkitkannya itu hanya menjadi mainan dan berlegar-legar di media sahaja.
Dalam kes Mat Sabu ini, kalau sekadar satu atau dua kejadian Timbalan Presiden PAS itu pernah bersikap berpura-pura saja sebagai bukti yang ada untuk menuduhnya mengamalkan ajaran Syiah, lebih baiklah ianya tidak didedah atau digembar-gemburkan kepada umum. Bukti-bukti yang lebih kukuh, konkrit dan jelas haruslah dikemukakan.
Jika setakat itu saja asasnya yang menjadi pegangan Ahmad Zahid, bermakna ramailah pengamal Syiah ini, termasuk sebahagian besar ada di dalam Umno sendiri. - shahbudindotcom
ULASAN GB
Dulu tuduh Mat Sabu agen komunis, sekarang Syiah... apa ada heran Mat Sabu pada itu semua?
Nak dedah dedahlah... kita nak tengok juga apa yang Zahid nak dedahkan. Nak tengok kot-kot jika ada video tunjuk Mat Sabu tenyeh dahinya di batu sewaktu sujud... atau ada rakaman pernikahan mut'ah dengan perempuan lain...
Yang di bawah ini ajaran Islam jenis apa pulak yang mengizinkan sentuhan dengan bukan-mahram wahai Zahid?
Itulah hukum kebenaran dan keadilan yang berjalan. Belum sempat kamu rencanakan pendedahan terhadap tuduhan palsu kamu, Tuhan mendedahkan dahulu untuk menunjukkan siapa sebenarnya kamu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan