Jumaat, 6 Disember 2013

Salam 1Melayu: Tak setuju tapi anggap bukan rasis

 

 
 
Pemimpin Tertinggi Umno tidak bersetuju dengan cadangan perwakilan supaya Salam 1Malaysia ditukar kepada Salam 1Melayu kerana ia tidak mencerminkan niat sebenar Umno dan hanya pendapat peribadi.

Bagaimanapun rata-rata mereka menganggap cadangan itu tidak bersikap perkauman sebaliknya hanya satu kata semangat bagi menyatukan ahli parti.

Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal berkata ajakan untuk perpaduan sesama bangsa bukanlah sifat perkauman sebaliknya penting dalam perjuangan parti.

"Kekuatan Umno ialah Melayu. Selama ini keberlangsungan Umno ialah kerana Melayu. Umno tidak sepatutnya melupakan asal mereka untuk memastikan bukan saja sokongan kini tapi untuk menambah sokongan orang Melayu di masa hadapan," katanya ketika ditemui di luar dewan persidangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 hari ini.

Beliau turut menafikan kegagalan gagasan 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.

"Bukan nak kata (1Malaysia) tidak berfungsi tapi ia juga satu alat di mana rakyat boleh bersatu melalui kerjasama dan memahami satu sama lain.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Mokhtar Radin berkata pandangan dan persepsi berbeza dalam parti merupakan perkara berbeza dan tidak semestinya sesuai digunakan dalam parti.

"Bukan nak kata tak setuju (1Melayu) sebab ini pandangan perbahasan dan tentu ada persepsi berbeza. Tapi saya lihat cadangan ini tak sesuai dgn keadaan negara sekarang sebab umum kita berkongsi kuasa dengan kaum lain.

"1Malaysia masih revelan tapi dari sudut lain, ia tak berjaya dari segi sokongan pengundi Cina tapi dari segi penerapan senegara berjaya. Kita takkan tinggalkan bangsa lain...begitu sahaja, kerana mereka pun berjuang mati-matian (untuk negara)," katanya.

Ketua Wanita Umno Datuk Shahrizat Jalil berkongsi sentimen sama dan mahu Umno dilihat secara sepenuhnya.

Malah Shahrizat memberi contoh perhimpunan parti lain yang mengajak kaum mereka bersatu.

"Bila ada perhimpunan DAP, ada kata-kata yang amat perkauman tapi kami faham, ini PAU (perhimpunan agung) Umno, perlu lihat Umno secara keseluruhan sebagai tulang belakang Barisan Nasional dan kita semua 1Malaysia," ulas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula yakin tiada sebarang sokongan jika ada yang mahu idea 1Malaysia cuba diubah semasa pemerintahan Najib.

"Mungkin dalam konteks PAU itu dicadangkan tapi dalam konteks seluruh Malaysia, kita masih berpegang 1Malaysia. Gagasan yang dipelopori oleh perdana menteri, jadi itu yang kita ikut," kata beliau

Semalam, perwakilan Pulau Pinang  Datuk Musa Sheikh Fadzir meminta perwakilan lain untuk menukar slogan Salam 1Malaysia kepada Salam 1Melayu kerana mendakwa kaum lain, khususnya Cina, tidak dilihat membantu Umno.

Beberapa perwakilan lain turut menyuarakan pendapat agar kaum Melayu diberi perhatian lebih kerana hanya mereka dilihat menyokong Umno pada masa kini.

Tiada ulasan: