Khamis, 19 Disember 2013

Politik '5 kaki 2 inci 3 suku'



Oleh Tarmizi Anuwar


Belakangan ini gempita dalam negara apabila pelbagai harga barang dinaikkan. Ia bermula dengan kenaikan harga bahan bakar yang memberikan kesan domino kepada barangan lain dalam negara.

Secara asasnya kesan domino ini adalah reaksi rantaian yang berlaku hasil daripada perubahan harga sesuatu barang yang menyebabkan perubahan yang sama terhadap barang-barang lain.

Peniaga restoran terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan oleh kos pengangkutan yang digunakan telah meningkat.

Ia juga disebabkan barangan mentah yang diperlukan turut meningkat disebabkan penjual barangan itu turut menghadapi masalah yang sama.

Kemudian berlaku pengumuman kenaikan harga ayam, tarif elektrik, harga gula dan yang terbaru adalah berkaitan kenaikan harga tol.

Turut menjadi polemik adalah berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang ingin dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Negara jiran Malaysia, Singapura telah melancarkan penggunaan GST pada tahun 1994 setinggi 3 peratus.

Tekanan psikologi
Kemudian selepas 9 tahun ia dinaikkan kepada 4 peratus, yakni hanya tambahan 1 peratus. Tahun selepasnya, 2004 dinaikkan 1 peratus lagi menjadi 5 peratus.

Akhirnya, pada tahun 2007 kadar peratusan GST yang dikenakan kepada rakyat Singapura adalah sebanyak 7 peratus dan kekal sehingga hari ini.

Selama 13 tahun, Singapura memerlukan tempoh masa untuk melaksanakan GST secara berperingkat.

Tetapi di Malaysia, sebaliknya berlaku apabila kerajaan secara tergesa-gesa ingin memperkenalkan GST pada kadar 6 peratus.

Walaupun hanya akan dilaksanakan pada 1 April 2015, tetapi melihat kepada kondisi taraf kehidupan rakyat (khususnya anak muda) semasa, perlaksanaan GST secara terus pada kadar 6 peratus bakal memberikan tekanan psikologi yang tinggi dan beban berganda kepada rakyat.

Dengan nilai yang sudah negatif apabila keluar universiti (antaranya disebabkan hutang pendidikan), sudah tentu mereka mahu membeli kereta yang bakal menegatifkan lagi nilai diri anak muda itu.

Selain itu, beban harga minyak yang mahal, mahu mendirikan rumah tangga dan mencari rumah untuk meneruskan kehidupan setelah berkeluarga, semua ini bakal ditanggung oleh anak muda.

Kritikan 'Do Re Mi'
Persoalan di sini adalah apakah belas kasihan yang ditunjukkan oleh menteri kepada kesemua rakyat yang mengundinya.

Perlu diingati kesan kepada perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan bakal dirasai oleh kesemua rakyat, tidak kira yang menyokong kerajaan atau pembangkang.

Jawapan yang diberikan oleh menteri seakan-akan menganggap bahawa rakyat negara ini adalah tiga suku pemikirannya. Ataupun sebenarnya bahawa pemikiran menteri memang tiga suku?

Jawapan seperti untuk mengurangkan penyakit diabetes kerana itu subsidi gula diturunkan, jika tidak setuju dengan undang-undang negara sila keluar dari Malaysia, jika tidak setuju dengan tol guna jalan biasa, jika ayam naik jangan makan ayam, jangan beli rumah kalau harga naik, tidak suka sistem pilihan raya pergi duduk dalam hutan, dan jangan beli sayur kalau harga naik maka tanam sendiri sayur adalah jawapan-jawapan orang yang pemikirannya tiga suku.

Barangkali untuk menjadi menteri, kelulusan utama adalah seperti kritikan sinis dalam cerita P Ramlee yang bertajuk Do Re Mi yakni ‘5 kaki 2 inci 3 suku'.

Walaupun terdapat menteri yang mempunyai latar belakang pendidikan sehingga di peringkat doktor falsafah tetapi itu bukan hujah untuk menghalau rakyat negara ini keluar pergi ke negara lain.

Rakyat berhak untuk mengkritik dan mendapat servis yang baik daripada kerajaan.
Negara adalah milik rakyat bukan milik hakiki mana-mana parti politik. Parti politik yang memenangi pilihan raya secara demokrasi hanya diberikan mandat sementara untuk mengurus tadbir negara demi kesejahteraan rakyat.

Melihat kepada jawapan menteri-menteri berkaitan isu semasa dalam negara membuatkan saya berfikir dan khuatir bahawa apabila wujud menteri-menteri yang pemikirannya tiga suku, mereka akan mengheret sekali rakyat bersama mereka.

Rakyat diperbodoh-bodohkan

Sekurang-kurangnya jika mahu menjadi tiga suku jadilah secara individu jangan mengheret rakyat berfikiran seperti kamu.

Rakyat bukanlah insan yang boleh diperbodoh-bodohkan dan menjadi tanggungjawab kepada semua untuk memastikan negara ini dalam situasi pemikiran yang lebih terbuka, bertolak ansur dalam agama dan kebudayaan dan intelek.

Maka, tidak sewajarnya apabila rakyat mengkritik dan memberikan komen berkaitan polisi yang ingin dibawa oleh kerajaan, menteri memberikan maklum balas dengan jawapan manusia berfikiran tiga suku.

Hari ini rakyat semakin terbuka dan memerlukan jawapan-jawapan yang sangat kukuh apabila timbulnya satu-satu isu. Bukan lagi dengan permainan persepsi dan manipulasi media sewenang-wenangnya. Menteri sewajarnya memberikan hujah yang mendidik rakyat, bukan menggunakan hujah dianggap logik oleh pemikiran tiga suku mereka.

Mendepani pemikiran tiga suku ini saya melihat satu usaha yang baik dilakukan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) melalui Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) bersama dengan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Saya menyeru kepada rakyat supaya bersama-sama hadir semasa perhimpunan membantah kenaikan kos sara hidup pada malam ambang kemerdekaan nanti di Stadium Merdeka.
Ini merupakan usaha TURUN untuk mendesak kerajaan agar mengambil kira permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Kami marhaen berhak menentukan kebebasan kehidupan kami di negara ini.


TARMIZI ANUWAR setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia 2013/2014.

Tiada ulasan: