Kerajaan di penghujung hayat adalah kerajaan yang zahir padanya tanda-tanda keruntuhan. Banyak petanda bahawa sesebuah kerajaan itu menuju kepada penghujungnya. Antara tanda yang jelas apabila negara sudah tidak terkawal dengan terlalu banyak konflik berlaku sesama rakyat.
Kerajaan kelihatan bersikap tidak toleransi dan dibenci oleh banyak puak dan pihak yang merasakan mereka tertindas ataupun hak mereka diketepikan dalam negara sendiri. Kebencian merayap dan keinginan rakyat untuk keadaan itu dihapuskan membuak-buak. Akhirnya rusuhan dan pergaduhan kaum dan puak mula tercetus.
Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak toleransi sehingga dalam negara berlaku banyak konfliks antara rakyat. Kerajaan bersifat kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai. Politik pecah perintah mungkin menguntungkan golongan politik tertentu untuk sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak peranda.
Firaun mengamalkan politik yang sama dan akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah. Firman Allah: "Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas satu puak kalangan mereka dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka.
Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (peninggalan Firaun)" (Surah al-Qasas ayat 4-5).
Malaysia
Jika kita lihat keadaan negara ini, kita dapati lahir ciri-ciri negara atau kerajaan di penghujung hayat. Negara ini sejak kebelakangan ini penuh dengan konflik yang memecah belahkan antara rakyat. Konflik antara agama dalam pelbagai isu yang mana kerajaan kadang-kala mengambil pendekatan yang kurang seimbang. Golongan agama rasmi pula dibiarkan memilih pandangan bersifat yang tidak sesuai serta sempit untuk masyarakat majmuk. Bermula daripada isu larangan orang bukan muslim masuk masjid sehingga ke isu kalimah Allah kelihatan ditangani dengan nada yang mencetuskan ketegangan antara rakyat. Kenyataan bersifat provokasi seakan mendapat tempat dalam media rasmi negara.
Demikian isu perkauman dibangkit dalam pelbagai rupa. Golongan yang bersifat rasis memainkan peranan mereka. Sebelum pilihan raya kita lihat isu agama dan kaum yang bersifat provokatif serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan rusuhan seakan digalakkan. Kemudian selepas itu, dipanaskan dengan isu mazhab dan aliran fikir dalam Islam. Pegawai KDN yang sepatutnya bertugas menjaga kedamaian negara, bertindak bagaikan batu api yang boleh mencetuskan kebencian dan salah sangka rakyat terhadap kerajaan.
Golongan agamawan bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa orang daripada aliran pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka berjaya menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di Lebanon sehingga membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka meresap ke dalam negara ini.
Kerajaan tidak boleh terbabit dengan perbalahan aliran fikir. Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini hendaklah bersifat penaung yang melindungi kebebasan setiap rakyat dengan syarat tidak menggugat keamanan awam. Kerajaan yang matang dan demokratik akan menangani perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana. Kerajaan hendaklah tahu apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu aliran, bukanlah bererti kita mengakui kebenarannya. Jangan keliru antara mengiktiraf kebenaran di sudut akidah ataupun fekah, dengan mengiktiraf hak kewujudan di sudut politik. Kita mungkin tidak mengiktiraf kebenaran agama dan aliran tertentu, tapi kita mengiktiraf kewujudan dalam negara selagi mereka mematuhi undang-undang negara.
Kepelbagaian
Kebenaran itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun berbeza puak dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanya pada cara ia dibahaskan tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran. Kerajaan tidak boleh terikut-ikut dengan golongan fanatic perkauman ataupun aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan perbezaan ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.
Saya tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul Hasan al-Ash'ari (meninggal dunia 330H) yang dinobatkan sebagai benteng Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal dunia 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy'ari: "Apabila ajal menghampiri Abul Hasan al-'Asy'ari di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: "Aku bersaksi bahawa aku tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan yang satu yang disembah.
Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan semata".
Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut: "Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: "Aku tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi Muhammad bersabda:
"Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin", maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim". (Siyar A'lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Remeh temeh
Kemudian, isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan membiarkan kekalutan ini. Label-melabel dijadikan mainan yang dicampur kuasa pentadbiran. Sebahagian golongan intelek melayu dilebelkan sebagai liberalis dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilabel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.
Untuk membincangkan masalah theology dalam kalangan intelek tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan kuasa agama serta kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan, boleh mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.
Hendaklah kita tahu dalam sejarah golongan agama sama ada Yahudi, Kristian dan juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah orang yang berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum lawan ataupun pesaing mereka. Ini kerana golongan agama - kecuali yang ikhlas - sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka. Rela membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza.
Inilah yang dilakukan terhadap al-Imam al-Syafi'i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap Martin Luther dan aliran Protestan.
Di satu sudut yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri dalam isu remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat seperti isu qunut subuh atau pun tidak. Padahal itu hanya perkara sunat dalam mazhab Syafi'i. Demikian juga dianggap wahabi mereka yang mereka solat tarawih lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan rakaat tarawih bukan kerana wahabi atau pun tidak. Saudi yang dikatakan wahabi itu solat 20 rakaat. Di mana wahabinya? Itu berdasarkan keadaan masing-masing. Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung tidak solat.
Malangnya dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan ini tidak pulak menyibukkan diri dengan isu masyarakat yang penting untuk rakyat seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai, isu yang dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.
Konflik
Hasilnya, negara terjerumus dalam konflik tidak berfaedah. Daripada satu konflik kepada satu konflik. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju ke hadapan. Ia hanya memesongkan rakyat daripada isu penting yang lain dan mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri. Dalam satu keadaan mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada menilai pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam jangka tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.
Maka, kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk mencari isu perbezaan bukan nilai persamaan untuk diambil manfaat antara rakyat. Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1Malaysia yang meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi slogan kosong yang tidak bermakna.
Akhirnya kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama lain, tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan pengurusan kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majoriti. Jika mereka itu terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan menimbulkan ketegangan balas.
Golongan muda dan berminda terbuka menganggap kerajaan ini tidak layak mengepalai politik yang sederhana dan bersikap terbuka serta adil dalam penilaian. Kelompok berpendidikan dan moderate inginkan keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka kerajaan ini menjadi makin tidak popular dalam kalangan cerdik pandai yang menjadi tulang belakang negara. Negara pun mula reput, kedamaian mula diragut dan berada di penghujung hayatnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan