Sabtu, 7 Disember 2013

Jangan Pinggir Golongan Guru Dalam Penggubalan Pelan Pendidikan - Wakil Pemuda Sabah




KUALA LUMPUR: Nasib golongan guru diberi perhatian pada Perhimpunan Agung Umno 2013 apabila seorang perwakilan mengangkat perkara ini dalam perbahasannya.

Wakil Pergerakan Pemuda Umno dari Sabah Armizan Mohd Ali berkata guru merupakan kumpulan pelaksana dalam pelan pendidikan negara dan mereka seharusnya tidak dipinggirkan apabila kerajaan membuat sebarang keputusan.

Dengan merujuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, beliau berkata kerajaan perlu tegas dan memberi fokus sepenuhnya terhadap pelan berkenaan dengam menjadikannya sebagai panduan dan garis panduan.

"Mereka (guru) tahu pelan adalah penting, perubahan adalah sesuatu yang perlu diterima tetapi dalam menggubal pelan atau sebagainya jangan sesekali kita tidak mengambil kira sentimen dan perasaan golongan pelaksana dasar ini iaitu guru yang menjadi ejen barisan hadapan membangunkan anak bangsa.

"Kita harap pelan ini akan diteruskan sehingga tahun 2025. Kita tak mahu tiba-tiba ada menteri baru, pelan baru...guru-guru dan pelajar pening," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di sini, Sabtu.

Tegasnya, pelan yang terlalu banyak atau sering berubah akan menimbulkan isyarat tidak baik kepada rakyat.

"...terlalu banyak pelan guru-guru pusing kepala dan akhirnya tidak akan bersama dengan kita," katanya.

Mengulas lanjut, melihat kepada pelan pendidikan ini beliau turut melahirkan kebimbangan apabila tidak diletakkan 'memperkasakan sekolah kebangsaan' sebagai agenda.

Katanya agenda tersebut cukup penting dan perlu diletakkan sebagai keutamaan namun bukan untuk meminggirkan atau menghalang mana-mana aliran sekolah yang lain.

"Aspirasi kita adalah untuk menjadikan pendidikan sebagai pemangkin kepada usaha perpaduan dan integrasi nasional bermula dari peringkat awal persekolahan," katanya

Tiada ulasan: