Sabtu, 14 Disember 2013

Isu Syiah: Hancurkan Pakatan dengan serangan terhadap Mat Sabu


OLEH THE MALAYSIAN INSIDER


Sebelum ini beliau dilabel sebagai simpatis kepada fahaman komunis, kini Mohamad Sabu  diserang dengan isu Syiah pula dipercayai sebahagian dari usaha Umno melemahkan Timbalan Presiden PAS itu dan memecahkan Pakatan Rakyat (PR). 

Timbalan Presiden PAS penggal kedua yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu dilihat sebagai ancaman kepada Barisan Nasional (BN) kerana beliau bertanggungjawab dalam mengikat hubungan di antara parti Islam itu dengan DAP, sebuah parti sekular, akibat daripada hubungan rapat dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ketika ramai bimbang perbezaan ketara antara PAS sebuah parti Islam dan DAP yang kadang-kadang dianggap anti Islam bakal memecahkan PR, hubungan rapat kedua-duanya banyak membantu.
Mohamad mula rapat dengan Lim ketika kedua-duanya ditahan dalam sel yang sama di Pusat Tahanan Kemunting mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mohamad suka memasak manakala Lim pula suka membaca, menjadikan kedua-duanya kawan rapat sepanjang beberapa tahun mereka ditahan bersama.

Apabila Lim menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad antara yang mendapat kepercayaan beliau untuk dilantik menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah dalam syarikat air milik kerajaan negeri.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Khamis menyenaraikan apa yang dikatakan sebagai 10 bukti Timbalan Presiden PAS itu merupakan pengikut Syiah.

Daripada 10 bukti itu, Mohamad dikatakan kagum kepada Ayatollah Ruhullah Musawi al- Khomeini dan Setiausaha Agung Hezbollah Sayyid Hassan Nasrallah.

Adakah mengkagumi tokoh komunis juga dikira komunis? Inilah hujah para pemimpin PAS ketika membela timbalan presiden mereka.

Namun begitu, apakah sasaran kerajaan BN iaitu meyakinkan pimpinan PAS bahawa Mohamad adalah penganut Syiah?

Kalau itu sasarannya, ia tidak akan berjaya kerana menjelang Muktamar PAS ke-59 lalu ketika Mohamad mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS, itulah hujah lawan beliau.

Namun Mohamad kekal sebagai orang nombor dua selepas majoriti perwakilan PAS memberikan undi kepadanya.

Kalau begitu, apa sasaran sebenar kerajaan dalam isu ini?

Sudah tentu untuk memecahkan PAS dan untuk menjauhkan lagi orang Melayu dari parti Islam itu sebagaimana mereka berjaya menakutkan kaum itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Perhimpunan Agung Umno 2013 juga meluluskan usul meminta pindaan terhadap Perlembagaan untuk memasukkan Islam Sunni sebagai satu-satunya aliran yang diterima di negara ini.

Jadi ramai yang ingin tahu bagaimana pula Mohamad atau PAS sendiri mahu mempertahankan diri ketika diserang kali ini?

Apakah pimpinan PAS akan berpecah?

Apakah Mohamad akan menyaman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi?
Kalau ya, bagaimana kalau Mohamad kalah dengan alasan teknikal dan apakah Timbalan Presiden PAS itu akan dianggap terbukti menganut fahaman Syiah?

Berikut adalah antara sebab kenapa bekas ahli Parlimen selama tiga penggal itu ditakuti BN:-

1) Mohamad hebat pada ceramahnya. Di mana-mana sahaja ceramahnya, akan berjaya menarik ramai orang untuk mendengar walaupun kini ceramah sudah tidak begitu popular.

2) Mohamad berjaya bertahan sebagai Timbalan Presiden PAS walaupun bertembung satu lawan satu dengan pesaingnya dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.

3) Ketika sesi kempen pra-muktamar berlangsung, golongan pro-ulama dalam PAS berkempen mahu mengkaji semula tahaluf siasi atau kerjasama politik dengan PR. Sementara Mohamad pula mahu memperkukuhkan hubungan dengan PR. Mohamad dianggap sebagai pengikat di antara PAS, PKR dan DAP.

Tiada ulasan: