Isnin, 16 Disember 2013

Fitnah Lucah Intelektual Dakwah dll…



Oleh Dinsman

SAYA sedang menyusun buku baru. Bukan menulis, tetapi menyusun, daripada esei-esei atau artikel yang pernah terbit dalam kolum Wacana Budaya ini, sejak awal 2008 hinggalah yang terbaru November 2013.

Bukanlah semuanya, kerana semuanya sudah ada lebih daripada 400 artikel. Saya pilih 100 lebih sikit saja. Campur dua lagi yang dari sumber lain daripada WB. Tebal jugalah!

Buku baru ini saya namakan Fitnah, Lucah, Intelektual, Amerika, Dakwah, Kata Benar dll… Macam pelik sikit namanya ‘kan? Tapi rasa-rasanya nama itu memang sesuai; mewakili dan menggambarkan isi kandungannya.

Kumpulan esei-esei dalam buku ini sengaja dipilih yang bukan mengenai seni-budaya. Jadi tidak adalah tulisan mengenai teater, jelajah budaya, muzik, diskusi buku, ulasan buku, tokoh budaya, bahasa, puisi, mengenai A Samad Said dan yang seumpama itu. Juga mengenai Kelantan pun tidak ada, sebab sudah diterbitkan dalam buku Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan, kira-kira setahun yang lalu.

Jadi, 110 esei atau 111 itu (kenapa ‘atau 111’ itu akan anda ketahui bila membeli bukunya nanti) memang mengenai “fitnah, lucah, intelektual, Amerika, dakwah, kata benar” dan lain-lain.
Rupa-rupanya ada enam perkara itu yang menjadi subjek kegemaran saya selama ini. Saya pun tak perasan. Bila sedang memilih dan menyusun itu barulah perasan.

Fitnah, lucah, intelektual, Amerika, dakwah, kata benar… Itu tentulah selain daripada subjek Tok Guru Nik Aziz, Kelantan, A Samad Said, teater dan seni-budaya yang sememangnya menjadi subjeksubjek kegemaran saya.

(Tetapi selepas beberapa bulan TG Nik Aziz tidak lagi menjadi Menteri Besar nampaknya sudah kelihatan semacam mulai ada sedikit demi sedikit kelainan yang berlaku di Kelantan. Namun apapun, saya tak mahu komen lagi. Masih dalam pemerhatian.) Yang pentingnya bukan perkara yang enam itu menjadi subjek kegemaran. Tetapi yang pentingnya ialah enam perkara itu adalah isu-isu penting dalam masyarakat kita sejak September 1998. Fitnah dan lucah itu – itulah dua musibat yang telah mewarnai wajah politik dan sosial masyarakat kita hingga menjadi hodoh dan semakin hodoh, rosak dan semakin rosak, tetapi diselindungi oleh pihak berkuasa yang penuh rasuah dan licik itu. Memang itulah subjeknya.

Bagi orang yang menulis mengenai masyarakat Malaysia khasnya politik dan sosial, bagi tempoh 10 tahun ini, kalau tidak menyentuh, menyorot atau mengkaji dan menganalisis mengenai gejala fitnah dan lucah, tidak lengkaplah kajian dan tulisannya.

Bermula daripada saat Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno melalui konspirasi fitnah yang penuh kelucahan itu, di situlah bermulanya satu era baru bagi masyarakat Malaysia. Ia telah mengubah hampir segalagalanya, terutamanya soal nilai, kebenaran, pembohongan, dan yang penting sekali ialah peranan fitnah dan penipuan dalam sistem politik kita.

Sebenarnya enam perkara itu bukanlah semuanya subjek kegemaran. Saya pun hanya sesekali sahaja menulis mengenai perkara yang lain daripada seni-budaya. Hanya apabila perkara-perkara itu begitu sekali ketara, menonjol, hingga mengganggu ketenteraman hati dan minda, seperti halnya fitnah kelucahan kali yang ke berapa itu, sekitar Mac 2011, maka saya pun menulis “Kelucahan melampau, 14 mufti yang bungkem”.

Dan saya dapati perkara itu memang sentiasa ada dalam masyarakat kita. Perkara firnah dan lucah itu. Kita ada 14 orang mufti, semuanya diam membisu membiarkan fitnah dan kelucahan merebak dan merosakkan masyarakat.

Bayangkanlah, orang boleh mendakwa dia diliwat dan dia tampil bergaya membuat sidang media, disokong oleh mediamedia utama dan pihak yang berkuasa, hingga dia menjadi seperti seorang ‘hero’.

Itulah nilai yang mencorakkan masyarakat kita. Dalam masa yang sama dikatakan gerakan dakwah dalam masyarakat kita pun sedang meningkat dan mendapat sambutan besar dan hebat. Beberapa orang tokoh dakwah menjadi popular hingga lebih popular daripada bintangbintang penghibur (penyanyi dan pelakon filem). Mereka pun mempunyai kadar bayaran yang tinggi disebabkan permintaan yang tinggi di pasaran.

Itukah dakwah? Itukah dakwah yang dimaksudkan oleh baginda Nabi s.a.w.? Maka saya pun turut menyorot perkara ini beberapa kali. Melihat persamaan antara dakwah dengan hiburan, dan dalam masa yang sama juga melihat gejala keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi dan orang dewasa kita.

Pandangan saya mungkin betul dan mungkin salah mengenai dakwah ini, hingga apabila orang hendak melabelkan teater saya sebagai berdakwah, saya jadi keberatan menerimanya. Sebab apa?
Sebab saya lebih banyak melihat para pendakwah itu (termasuk yang bergelar alim-ulama) menjenakakan ilmu lebih daripada memuliakan ilmu, ketika mereka berceramah.

Manakala subjek “berkata benar” pula memanglah menjadi moto atau prinsip yang dijulang dan diperjuangkan oleh kumpulan kami – Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Di situlah kami berdiri, maka kami dapat melihat jelas pelbagai pembohongan, penipuan, kerakusan kuasa, kemunafikan, penyelewengan dan pelbagai sikap dan sifat yang negatif di kalangan para penguasa dan juga di kalangan kawan-kawan sendiri.

Dari tempat berdiri yang sama itulah juga kami selalu memerhatikan tingkah laku dan perangai orang-orang politik (termasuk kawan-kawan) yang selalu sibuk melampau dengan hal-hal politik mereka, hingga segalanya mahu dipolitikkan, dan tidak pernah ada masa untuk hal-hal yang bukan politik, sedangkan hidup ini bukanlah semuanya mengenai politik. Maka bagaimanakah kehidupan kita boleh menjadi harmoni dan seimbang?

Ada banyak lagilah sebenarnya. Ada 111 tajuk yang berbeza. Dan kenapa Amerika pun ada dalam tajuk buku ini? Intelektual pun ada! Tak dapatlah saya nak jelaskannya di ruang yang terhad ini. Tunggulah bukunya terbit tak lama lagi.

Harap-harap sebelum terbit matahari tahun 2014, buku ini sudah siap untuk dilancarkan.
Maka sesiapa yang berminat, nak beli buku atau nak buat pelancaran buku ini di tempat mereka, silalah SMS saya – 019- 7172408.

Tiada ulasan: