IPOH – Akibat tertekan dengan masalah dialaminya, seorang penjawat awam hilang pertimbangan dan menikam neneknya sendiri di sebuah rumah di Gunung Rapat di sini, 26 Oktober lalu.
Sumber polis berkata, ketika kejadian pada jam 4 petang itu, lelaki berkenaan mengamuk dan memukul bapa saudaranya dengan kuali serta menampar anak saudara lelaki berusia 10 tahun.
“Bapa saudaranya sempat meminta pertolongan daripada jiran berhampiran, namun sebaik sahaja dia kembali ke rumah, dia melihat ibunya terbaring berlumuran darah.
Suspek pula melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya.
Sumber itu berkata, selepas melakukan perbuatan kejam itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit berkeliaran di pekan berhampiran dan mencabul seorang wanita di atas motosikal berhampiran lampu isyarat di Jalan Sultan Azlan Shah.
“Suspek bertindak berani menghampiri wanita terbabit dan terus memeluk serta mencium mangsa. Dia turut mengacau pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau berkata, pemuda yang dipercayai mengambil dadah berlebihan itu turut memecahkan cermin dua kereta pelanggan di pekarangan parkir sebuah kompleks beli belah, tidak jauh dari lokasi kejadian
Menurutnya, lelaki tersebut juga mencederakan seorang pengawal keselamatan yang cuba menahannya dan meminta wang dari pekerja farmasi berhampiran serta mencederakannya sebelum berjaya ditahan.
Menurut sumber itu lagi, nenek suspek, Norsiah Marshidi, 77, meninggal dunia selepas 13 hari ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Difahamkan, suspek tertekan selepas bercerai dengan isterinya dan datang ke rumah neneknya.
Suspek kini ditahan polis dan dituduh atas pelbagai kesalahan antaranya melibatkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dan 354 Kanun Keseksaan iaitu menyerang dengan niat mencabul kehormatan.
No comments:
Post a Comment