Monday, November 11, 2013

Shahrizat tarik balik saman, takut semakin banyak pendedahan skandal NFC

NFC feat img


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menarik balik saman berjumlah RM100 juta berhubung pendedahan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO membuat langkah itu tanpa perintah kos dan kebebasan untuk memfailkan semula, manakala Rafizi juga menarik tuntutan balas di atas terma sama.

Penarikan ini dibuat dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Pada 19 Januari tahun lalu, Shahrizat memfailkan saman tersebut dengan mendakwa pendedahan yang dibuat Rafizi dan Zuraida adalah fitnah.

Namun, kedua-dua pimpinan itu kemudiannya membuat saman balas pada 9 Mac tahun yang sama.
Seperti yang didedahkan sebelum ini, pengurusan NFC telah menubuhkan beberapa syarikat di Singapura bagi menjalankan perniagaan peribadi milik keluarga Shahrizat tetapi dibiayai melalui pemindahan wang yang berasal dari dana rakyat berjumlah RM250 juta yang diberikan kepada NFC.

Sebelum ini, PKR telah mengemukakan bukti bahawa sejumlah S$530,000 (bersamaan RM1.3 juta) telah dipindahkan dari dana NFC kepada Meatworks (Singapore) Pte Ltd bagi tempoh 3 bulan antara Oktober hingga Disember 2010.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen PKR Pandan menyifatkan penarikan saman itu sebagai bukti di mana pendedahannya selama ini adalah berasaskan fakta dan jika diteruskan kemungkinan banyak lagi penyelewengan Shahrizat akan terdedah.

“Penarikan adalah kemenangan moral kepada kami dan menunjukkan apa yang telah didedahkan sebelum ini benar berasaskan kepentingan awam dan fakta.

“Walaupun saman ini ditarik balik, namun saya akan terus menyiasat dan mencari kebertanggungjawaban isu NFC ini walaupun selepas kes saman digugurkan,” katanya melalui laman sosial Twitter.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua turut menyatakan beliau sudah bersedia untuk membentangkan laporan terhadap penyalahgunaan dana awam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Parlimen selepas Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju dengan perkara itu.

Tony turut mendedahkan kandungan perjanjian pinjaman antara NFC dan kerajaan yang berat sebelah serta melanggar perjanjian pembelian hartanah mewah.

Dokumen 35 muka surat itu dengan jelas menyatakan bahawa tujuan pinjaman mudah dari kerajaan itu pada kadar faedah tahunan dua peratus adalah semata-mata untuk projek NFC. -Roketkini.com

No comments: