Selangor negeri pertama lulus lesen burung walit
Posted in: Berita, Exco, Fokus Rakyat, Kebajikan Rakyat, Pembaikpulihan, Pencapaian & Prinsip Tadbirurus, Perkhidmatan Kepada Rakyat, Perpaduan, Pihak Berkuasa Tempatan, Tayangan, Terkini, Wakil & Institusi Kerajaan
– November 8, 2013
SHAH ALAM : Selangor muncul negeri pertama meluluskan pemberian lesen industri penternakan dan perusahaan sarang burung walit melalui tawaran pakej insentif yang adil kepada penternak serta pengusaha sedia ada, berkuatkuasa 1 Januari 2014.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata pelaksanaan dasar itu diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas mengadakan sesi dialog bersama persatuan dan pengusaha industri berkenaan, pada 25 September lalu.
Katanya, pelaksanaan terbabit akan dilaksanakan melalui penguatkuasaan Undang-undang Kecil Penternakan Burung Walit dan Perusahaan Sarang Burung Walit 2013 di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor.
“Dalam proses pertimbangan, kerajaan negeri mengambil kira beberapa faktor termasuk kepentingan dan masalah pengusaha, selain kepentingan orang ramai dari segi kebersihan, wabak penyakit, pencemaran bunyi, kesan negatif terhadap nilai hartanah serta pembinaan bandar yang selesa,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Teng turut menjelaskan beberapa perkara utama berkenaan pelaksanaan dasar perlesenan itu yang harus dipatuhi penternak dan pengusaha burung walit seperti yang diputuskan MMKN.
“Semua penternak dan pengusaha di tanah pertanian akan diberikan lesen, mulai 1 Januari 2014. Penternak dan pengusaha sedia ada di premis perniagaan menerima lesen dari 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2016, manakala penternak serta pengusaha di sawah padi pula akan diberikan lesen dari 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2020.
“Bagi penternak dan pengusaha di premis perniagaan serta sawah padi, mereka akan diberikan insentif iaitu fi lesen, cukai tanah serta cukai pintu percuma selama lima tahun di tapak baru, jika memindahkan operasi penternakan burung walit ke tanah pertanian di tempat sedia ada dalam tempoh lesen diberikan,” katanya.
Chang Kim berkata, pemberian lesen adalah tertakluk kepada syarat- yang diperuntukkan di bawah undang-undang kecil berkenaan dan semua pengusaha serta penternak perlu mengemukakan permohonan lesen, selewat-lewatnya 31 Disember ini.
“Permohonan lesen untuk operasi di premis perniagaan dan sawah padi, sama ada sedia ada atau yang baru tidak akan dipertimbangkan selepas 31 Disember ini dan segala permohonan perlu dikemukakan kepada PBT berkenaan.
“Kita berharap dengan pemberian lesen ini, penternakan dan perusahaan sarang burung walit di Selangor akan berkembang dengan teratur, sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.-NFN
No comments:
Post a Comment