Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menjadi penawar untuk menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke lembah kemuflisan, kata tiga anggota Parlimen Pakatan Rakyat.
Mereka mendesak perdana menteri menjelaskan kedudukan kewangan negara dan sama ada Malaysia berhadapan risiko muflis atau dalam kedudukan kewangan yang selesa.
Gesaan itu dibuat oleh Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Najib dilaporkan berkata, negara akan muflis jika GST tidak dilaksanakan.
Namun, pada masa sama di Parlimen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kedudukan kewangan negara masih lagi kukuh.
"GST tidak akan menyembuhkan segala-galanya. Hong Kong dan US tiada GST, tetapi mereka tidak muflis.
"Sepanyol dan Greece ada GST namun mereka menanggung kemuflisan," kata Pua (kanan).
Sementara itu, Rafizi menggesa perdana menteri agar lebih tekal dalam menilai kedudukan kewangan negara pada satu-satu masa.
"Semalam kata negara hendak bankrap, tapi timbalannya pula kata semuanya bagus-bagus sahaja," katanya.
"Masalah sebenar kita bukan GST, tetapi adalah kegagalan Najib membanteras rasuah dan merancakkan ekonomi," tambahnya.
Khalid (kiri) pula menegaskan yang pendapatan daripada hasil petroleum negara meningkat sebanyak tiga kali ganda dalam masa setahun.
Menurutnya, harga petroleum pada tahun 2003 adalah AS$20 setong dan kini ia melebihi AS$100 setong membolehkan pendapatan dari hasil minyak meningkat daripada AS$11 bilion kepada AS$60 bilion sekarang ini.
No comments:
Post a Comment