Wednesday, November 6, 2013
Laut China Selatan kini semakin “lebar”
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahan kalimah Allah eksklusif hanya untuk umat Islam serta kemelut di antara peguam Islam dan bukan Islam di Semenanjung Malaysia menjauhkan lagi jurang integrasi nasional, kata kajian rawak yang dijalankan oleh The Malaysian Insider.
Kakitangan badan bukan kerajaan (NGO), Philip Tero, 58, berkata Laut China Selatan kini menjadi semakin luas apabila Najib tidak lagi menganjurkan integrasi nasional.
“Perpaduan kini hanya menjadi impian dalam bayangan politik. Pelbagai isu seperti sosial, ekonomi, akademik, kaum dan agama semakin jelas kelihatan jurangnya.
“Tiada usaha serius oleh kerajaan bagi menggalakkan integrasi nasional. Apa yang mereka tahu hanya menjaga kepentingan politik. Bagaimana hendak berbicara tentang integrasi jika mereka terus bersikap sedemikian,” katanya merujuk kepada pemimpin Umno yang kerap memainkan api perkauman bagi memenangi jawatan dalam parti.
Tero berkata, jurang kaum dan agama semakin besar berbanding sebelum ini dan negara masih aman berikutan belum ada rakyat yang mati kebuluran.
Najib dalam perutusan sempena menyambut Tahun Baru 1435 Hijrah bertegas akan tetap mempertahankan kalimah Allah demi bangsa, agama dan negara namun usaha itu perlu dilakukan secara berhemah melalui konsep Wasatiyyah yang menjadi asas kemakmuran Malaysia.
Sementara itu, kemelut di antara peguam bermula apabila Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam Majlis Peguam atas sokongan mereka terhadap mingguan Katolik, Herald.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh kemudian menggesa PPMM dibatalkan pendaftarannya atas alasan badan profesional mahu pun politik tidak harus ditubuhkan berasaskan kaum atau agama.
“Dengan pengasingan politik yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN), konsep integrasi nasional semakin sukar difahami terutama oleh masyarakat pedalaman Sarawak.
“Sikap kumpulan pendesak dan ketaksuban ahli politik di Semenanjung memainkan sentimen kaum demi kepentingan peribadi dan politik sukar diterima oleh penduduk Malaysia Timur yang mengamalkan sikap toleransi dalam hubungan kaum dan agama.
“Kita semakin jauh kepada integrasi nasional yang sepatutnya wajar didekatkan,” kata ahli politik Dayak dari DAP, Leon Jimat Donald.
Surirumah, Josephine S Henry, 40, berkata Malaysia tidak menuju kepada perpaduan sebaliknya perpecahan kerana Kuala Lumpur tidak berminat mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan bersama berikutan mempunyai kepentingan lain.
“Mereka berminat dengan minyak dan gas di sini malah sekarang Putrajaya berminat dengan undi kami yang membolehkan mereka kekal berkuasa. Integrasi nasional tiada dalam fikiran mereka,” katanya.
Sementara itu, setiausaha politik kepada timbalan menteri yang hanya mahu dikenali sebagai R K Leopard, berkata Sarawak kini semakin jauh dari Semenanjung bagi mencapai tujuan perpaduan apabila sikap ketaksuban terhadap agama dan kaum jelas ditunjukkan oleh penduduk Semenanjung.
“50 tahun lalu, perkara ini tidak menjadi isu. Kenapa baru sekarang ditimbulkan? Secara tiba-tiba kalimah itu eksklusif kepada pihak tertentu,” katanya yang menyalahkan ahli politik dan kerajaan kerana tidak mengendalikan perkara ini dengan penuh bijaksana.
Pegawai perhubungan awam, Ivy Sekai, 31, berkata semangat 1Malaysia yang dipromosikan Najib sudah terpisah akibat perbezaan kaum dan agama yang semakin ketara.
“Kita semakin terpisah. Di Sarawak, kami masih bersatu tetapi malangnya kami dipisahkan penduduk Semenanjung,” katanya.
Turut berkongsi pandangan, wartawan akhbar mingguan perniagaan, Joseph Wong yang melihat situasi di Semenanjung menjadikan penduduk Sarawak lebih peka dengan apa yang berlaku di Kuala Lumpur.
Beliau turut melahirkan kebimbangan pemikiran masyarakat Semenanjung akan memberi kesan kepada kedamaian serta toleransi kaum dan agama di Sarawak.
“Masyarakat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama boleh duduk bersama di kedai kopi yang menghidangkan makanan halal dan tidak halal yang sama sekali tidak dapat dilihat di Semenanjung,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment