Kawasan kampung dan separa bandar bukan lagi menjadi simpanan tetap BN pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kedudukan geopolitik kawasan itu berubah pada hari mengundi, kata bekas timbalan menteri pendidikan tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini, beliau berkata sewaktu pilihan raya, kawasan kampung dan separa bandar ini, masing-masing boleh bertukar menjadi separa bandar dan bandar ekoran berbondong-bondong pengundi luar pulang ke kawasan mereka.
Beliau yang juga bekas ahli parlimen Temerloh berhujah dengan menggunakan kawasannya sendiri di Pahang dan parlimen Bachok di Kelantan bagi menyokong pandangannya.
"Di Kelantan, secara geografi dua pertiga kawasannya adalah kampung. Tetapi semasa pilihan raya ia bertukar menjadi dua pertiga kawasan separa bandar.
"Temerloh menjadi kawasan bandar pada pilihan raya kerana seramai 6,000 pengundi pulang untuk mengundi. Sebenarnya kalau kamu kira sokongan saya dari kalangan pengundi Cina yang tinggal di Temerloh sendiri, sokongan terhadap saya cukup bagus.
"Di Bachok, di mana Awang Adek (Husin) kalah, beliau kata disebabkan 16,000 pengundi balik mengundi pada pilihan raya itu. Tapi Bachok secara kasarnya adalah kawasan kampung," katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, Saifuddin tewas kepada Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dengan majoriti sebanyak 1,070 undi. Temerloh yang mempunyai 66,105 pengundi berdaftar, adalah kerusi Melayu dengan 24 peratus pengundi Cina.
No comments:
Post a Comment