Wednesday, November 6, 2013

Kadar pengangguran meningkat, DAP desak kerajaan pantau Agensi Pekerjaan Swasta (APS)

vsivakumar


IPOH: Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar mempertikai keberkesanan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) apabila hanya 14,802 pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan daripada 279,348 yang mendaftar.

Pertikaian itu timbul berikutan kebanjiran pekerja asing di pelbagai sektor dalam negara tetapi pada masa yang sama statistik pengangguran rakyat juga semakin meningkat.

“Adakah APS yang ada memainkan peranan atau tanggunjawab dengan berkesan kerana statistik yang dikemukakan Kementerian Sumber Manusia itu tidak memberi gambaran baik berhubung APS ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya, daripada 2,505 agensi berdaftar sebagai APS mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 hanya 1,178 agensi yang aktif.

“Bagaimanapun kerajaan menerima 81 permohonan baru dan 663 pembaharuan lesen APS antara Januari hingga September 2013.

“Mengapa perkara ini berlaku, adakah APS di negara ini tidak cekap atau ada alasan lain berhubung perkara itu. Kerajaan harus mengkaji semula peranan APS dan mencari jalan mempertingkatkan kemampuan APS supaya dapat menempatkan mereka yang berdaftar secara efektif,” kata Sivakumar.

Beliau berpendapat, jika APS tidak diberi kepercayaan oleh mereka yang mendaftar atau majikan, kerajaan harus mengkaji semula undang-undang yang sedia ada untuk mempergiatkan lagi industri ini.

“Kewibawaan APS ini adalah penting untuk menyelesaikan masalah pengangguran di negara kita.
“Statistik yang ditunjukkan Kementerian Sumber Manusia amat menakjubkan kerana masih ramai rakyat negara ini sedang mencari pekerjaan, pada masa yang sama semakin ramai warga asing bekerja di negara ini,” katanya lagi.-Roketkini.com

No comments: