Datuk Dr Zulkifli Jantan  
 
Dr Zulkifli Jantan

KUCHING - Jabatan Kesihatan Sarawak akan menjalankan proses saringan kesihatan ke atas 559 orang jemaah haji dari negeri ini sebagai langkah mengekang penularan jangkitan 'Middle East Respiratory Syndrom Coronovirus (MERS-CoV).

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata, proses yang akan dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, mulai esok dan 11 Nov itu bakal melambatkan proses jemaah untuk keluar dari balai ketibaan.

"Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin memohon kerjasama anggota keluarga yang akan menyambut kepulangan jemaah haji ini supaya bersabar dan mengikut arahan dari pihak berkuasa dan agensi-agensi yang terlibat," katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan akhbar itu diedarkan semasa taklimat media berkenaan MERS-CoV di pejabat Jabatan Kesihatan Negeri, hari ini.

Menurutnya jemaah yang mempunyai gejala saluran pernafasan akut yang teruk akan dibawa ke hospital menggunakan ambulans dengan kadar segera.

Zulkifli juga menasihatkan para jemaah yang baru kembali dari Tanah Suci agar mengehadkan aktiviti pertemuan dengan orang lain dalam jumlah yang ramai dalam tempoh dua minggu selepas ketibaan serta mengambil langkah kebersihan lebih intensif.

Jemaah ini juga diminta untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya menghidap demam, sukar untuk bernafas atau cirit-birit.

MERS-CoV merupakan satu daripada virus daripada kumpulan coronavirus yang mula dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak September lepas dan setakat 1 Nov lepas, ia telah menyebabkan 63 kematian dari 149 kes yang dilaporkan di seluruh dunia.

Katanya, punca jangkitan dan cara jangkitan MERS-CoV ini masih belum dapat dikenal pasti.

"Pihak WHO juga menegaskan tahap penularan jangkitan tersebut secara keseluruhannya tidak diketahui dan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini," katanya. - Bernama