Friday, November 8, 2013

1BestariNet sekat akses maklumat, hina kebebasan maklumat

1bestari

KUALA LUMPUR: Projek 1BestariNet kelolaan Kementerian Pelajaran ternyata menghina kapasiti intelek profesyen guru dengan mengenakan sekatan akses kepada beberapa laman web politik.

Projek 1BestariNet bernilai RM663 juta yang diuruskan pihak YTL Communications disebut sebagai bertujuan “mengubah arena pendidikan dan menjadikan Malaysia sebagai model cemerlang di dalam pembelajaran bersepadu berteras internet.”

Namun amat mengecewakan apabila akses internet akhirnya dikawal dan dihalang, seolah-olah guru tidak mampu menghadam maklumat yang pelbagai dan membuat keputusan sendiri.

dap

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong; Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mendedahkan dalam satu kenyataan bersama hari ini bahawa pihak Kementerian menghalang akses kepada beberapa laman web dan blog dapmalaysia.org (DAP Malaysia) liewchintong.com (Liew Chin Tong) ongkianming.com (Ong Kian Ming) dan juga zairil.com (Zairil Khir Johari).

“Malahan, entiti berkaitan BN seperti laman web MCA (mca.org.my) dan laman web Pemuda UMNO (pemudaumno.org.my) juga turut dihalang aksesnya kerana sebab yang tidak diketahui,” kenyataan itu dipetik berkata.

Tambah mereka lagi, adalah amat malang pula apabila laman web yang membawa sudut pandang perkauman dan pelampau tidak pula dihalang aksesnya seperti http://pribumiperkasa.blogspot.com dan perkasaonline.com.my. Turut tidak dihalang aksesnya adalah organ rasmi UMNO, umno-online.my, laman web Wanita UMNO, wanitaumno.my dan portal Puteri UMNO, puteriumno.my

“Memandangkan 1BestariNet adalah sebuah projek yang bertujuan menggalakkan budaya pengajaran dan pembelajaran yang akan menjadi kayu ukur piawaian pendidikan pada masa akan datang, adalah sangat menghina sekali untuk meletakkan kawalan dan sekatan ke atas maklumat yang boleh diakses oleh guru dan pelajar,” ujar mereka.

ongkianming

“Ia adalah penghinaan tambahan kepada profesyen perguruan, yang sudah pun dibebani setakat ini dengan segala macam tugas pentadbiran, ketimbang urusan mengajar dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak kita.

“Kini kebebasan mereka untuk mendapatkan maklumat pun disekat dengan tindakan menghalang akses laman web ini,” tambah mereka lagi.

“Kami amat pasti bahawa MCA dan Pemuda UMNO juga turut berminat untuk mengetahui kenapa laman web mereka turut terhalang,” ujar mereka lagi sambil menuntut penjelasan daripada Kementerian Pelajaran tentang sebab musabab akses ke laman tersebut dihalang.

“Kami juga menuntut penjelasan tentang pendirian Kementerian mengenai polisi kerajaan dan MSC bahawa internet tidak boleh ditapis.” – Roketkini.com

No comments: